• Ibu Bapa Suspek Tak Didakwa - KPN

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Ibu bapa tujuh suspek yang disyaki membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, tidak akan didakwa, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

    Beliau berkata, khabar angin bahawa ibu bapa suspek akan turut didakwa di mahkamah yang tersebar ketika ini hanyalah spekulasi semata-mata.

    "Ibu bapa suspek tiada kena mengena dengan kes ini, malah tindakan tujuh suspek ini dikategorikan sebagai kesalahan juvana.

    "Semua pihak, termasuk media tidak perlu membuat spekulasi bukan-bukan mengenai perkara ini. Kami akan kemukakan saranan kepada pihak pendakwaan berdasarkan hasil siasatan," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Polis Diraja Malaysia 2017 di Kampus Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, sebentar tadi.

    Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd; Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed.

    Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan kertas siasatan berikutan kekangan, termasuk tidak boleh mengambil keterangan pelajar yang cedera di hospital.

    Beliau berkata, pihaknya juga menunggu laporan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), bomba, Jabatan Kimia dan forensik, yang memerlukan sedikit masa untuk dilengkapkan.

    "Bagaimanapun, kertas siasatan ini akan disiapkan secepat mungkin memandangkan kes ini sudah menjadi 'high profile'," katanya.

    Mengenai perkembangan terkini berhubung isu kebocoran maklumat, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat, namun pihaknya sudah mengambil keterangan anggota dan pegawai polis yang terbabit, termasuk merampas telefon bimbit mereka.

    - Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Ibu Bapa Suspek Tak Didakwa - KPN "