• Hidro Mikro iM Sarawak Bekalkan Elektrik 24 Jam Ke Long Semadoh

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+


    BA'KELALAN: Bunyi bingit dari jana kuasa tidak mengganggu tumpuan lelaki ini memeriksa sistem tenaga hidro mikro di bawah projek iM Sarawak yang menjadi nadi membekal tenaga elektrik 24 jam secara percuma, sejak lebih setahun lalu ke Kampung Long Telingan.

    Bersama buku log catatan harian di tangannya, Danny Danil teliti memeriksa tekanan air, keadaan turbin, meter serta kotak kuasa dalam keadaan sempurna bagi memastikan kelancaran sistem yang berfungsi apabila air disalurkan menerusi paip ke rumah jana kuasa yang terletak di kaki Gunung Puneng Sugih di kampung itu.

    "Ada dua empangan di atas gunung, air dari kedua-dua empangan ini dialirkan menerusi saluran paip untuk membekalkan kuasa kepada generator di rumah jana kuasa ini seterusnya menghasilkan tenaga elektrik berkapasiti 20 kilowatt untuk kemudahan 24 rumah di kampung ini," kata pemuda berketurunan Lun Bawang yang memulakan tugasnya di situ sejak Jun 2016.

    Danny, 38, nyata amat serius memegang amanah sebagai 'penjaga' rumah jana kuasa itu apabila menggunakan pengalaman bekerja dalam industri minyak dan gas selama sembilan tahun untuk memudahkannya mengawal selia operasi sistem tenaga hidro mikro itu.

    Selain memastikan operasi sistem itu berjalan lancar setiap hari, seminggu sekali Danny akan melakukan kerja pembersihan seperti memastikan empangan tidak dihalang ranting dan kayu, turbin tidak dimasuki haiwan kecil ataupun pasir serta saluran paip tidak bocor.

    "Rumah jana kuasa ini dijaga secara bergilir bersama seorang lagi rakan, Freddy Agong. Hasil tunjuk ajar oleh dua kakitangan Penampang Renewable Energy (rakan projek iM Sarawak) serta pengalaman sendiri, saya cuba sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

    "Sudah pasti saya amat gembira dan tidak bosan bertindak sebagai 'penjaga' rumah jana kuasa ini kerana Long Telingan kini memiliki tenaga elektrik 24 jam secara percuma," katanya.

    iM Sarawak merupakan inisiatif pembangunan sosial yang diketuai oleh Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) untuk membantu meningkatkan kualiti hidup pelbagai komuniti di seluruh negeri ini, selaras dengan prinsip 1Malaysia.

    1MSAC ditubuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memberikan khidmat nasihat tentang keperluan penduduk Sarawak.

    Projek ini melibatkan sistem tenaga hidro mikro di Kampung Long Telingan (24 rumah), Kampung Long Semadoh Rayeh (55 rumah) dan Kampung Bubuk Bui (48 rumah) yang mempunyai kira-kira 700 penduduk.

    Kejayaan projek ini memberi manfaat kepada penduduk di tiga buah kampung yang terletak kira-kira tiga hingga lima jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari Lawas itu untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga elektrik yang dijana menerusi jana kuasa diesel sejak projek disiapkan lebih setahun lalu.

    Peniaga runcit Patrick Tony Lakai, 40-an, dari Kampung Long Semadoh Rayeh berkata dengan adanya kemudahan elektrik 24 jam itu, beliau dapat menjana pendapatan lebih tinggi apabila kedai yang diusahakannya beroperasi sehingga lewat malam berbanding menggunakan generator berkuasa diesel apabila tempoh dihadkan untuk mengurangkan penggunaan diesel.

    "Apabila bekalan elektrik sudah 24 jam, saya beli peti sejuk kerana sudah boleh menjual barangan basah seperti ikan, kepak ayam dan daging. Stok barangan basah diperoleh dari Lawas, dahulu perlu ke sana berkali-kali serta membuang banyak masa tetapi kini saya beli stok lebih banyak," katanya.

    Selain pendapatan bulanan bertambah hingga lapan peratus, bapa kepada tujuh cahaya mata berusia tujuh hingga 17 tahun ini juga melihat sistem mikro hidro itu sebagai pemangkin untuk anak-anak berjaya dalam pelajaran apabila waktu ulang kaji sudah boleh dilakukan pada waktu malam.

    "Semua anak-anak saya tinggal di asrama, mereka pulang seminggu sekali sebelum ini, jika pulang mereka habiskan masa dengan melakukan aktiviti riadah seperti memancing dan sebagainya tetapi kini mereka boleh lihat rancangan pendidikan di televisyen dan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.

    Ketika ini terdapat tujuh inap desa di tiga kampung tersebut, dengan kemudahan bekalan elektrik 24 jam, ia mampu menarik lebih ramai pengunjung.

    Rinai Sakai, 64, berkata sejak sistem tenaga hidro mikro beroperasi, beliau sudah membeli peralatan elektrik seperti periuk nasi, mesin basuh, televisyen yang ditempatkan di inap desa miliknya untuk kemudahan pelawat.

    "Dahulu agak susah tetapi dengan adanya elektrik 24 jam ini pelawat yang datang akan menikmati tambah nilai pada percutian mereka antaranya cas telefon dan boleh tengok televisyen," katanya.

    Rinai yang juga mahir menghasilkan produk kraftangan tradisi masyarakat Lun Bawang berasaskan rotan dan buluh seperti 'rinu' (talam berbentuk bujur), 'agag' (talam bulat) dan 'reng' (bakul) kini boleh menghasilkan lebih banyak produk tersebut kerana sudah ada elektrik 24 jam.

    "Dahulu kami hanya boleh anyam (hasilkan) produk ini pada waktu siang, waktu malam tidak boleh kerana cahaya lilin tidak begitu terang. Untuk hasilkan satu 'rinu' perlu ambil masa lebih sehari tetapi kini jika proses anyam dibuat siang dan malam, dalam sehari sudah boleh siap.

    "Lebih banyak kami buat, lebih mudah untuk kami jual kepada pelancong yang tinggal di inap desa ini, selain tempahan yang diterima untuk majlis perkahwinan masyarakat Lun Bawang," katanya sambil menambah ketiga-tiga produk itu dijual mengikut saiz bermula RM20 hingga RM70 setiap satu.

    Sementara itu Pengerusi 1MSAC Datuk Joseph Salang Gandum berkata iM Sarawak amat gembira dapat membantu masyarakat Long Semadoh, Long Telingan dan Bubuk Bui.

    "Dengan inisiatif ini, sistem tenaga hidro mikro untuk ketiga-tiga kampung dapat dilaksanakan oleh rakyat untuk rakyat melalui gotong-royong. Ini dapat memberi mereka rasa pemilikan dan kebanggaan dengan projek ini.

    "Saya yakin sistem tenaga hidro mikro ini dapat membantu pengusaha inap desa untuk menawarkan penginapan lebih baik dan mesra pelanggan pada masa akan datang," katanya.

    Selain Salang, 1MSAC turut dianggotai oleh Anggota Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Anggota Parlimen Mas Gading Datuk Anthony Nogeh Gumbek, bekas Anggota Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo dan Ir Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie.

    -- BERNAMA
  • No Comment to " Hidro Mikro iM Sarawak Bekalkan Elektrik 24 Jam Ke Long Semadoh "