• Harimau Malaya tak jadi terbang ke Pyongyang

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+
    SKUAD Harimau Malaya terpaksa membatalkan perjalanan ke Pyongyang buat kali ketiga untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2019 selepas jadual asal pada Mac dan Jun lalu dipinda ekoran situasi tegang serta keadaan tidak menentu di Korea Utara.

    Semalam, kerajaan melarang rakyat Malaysia melakukan perjalanan ekoran siri ujian peluru berpandu di negara komunis itu, sekali gus perlawanan skuad bimbingan Nelo Vingada di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang pada 5 Oktober depan ditangguhkan.

    Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau telah menghubungi Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John berhubung larangan terbaharu kerajaan itu.

    “Surat rasmi kepada AFC telah dihantar tengah hari ini (semalam) berhubung larangan tersebut. AFC menerusi Windsor dalam surat balasannya bersetuju dan memutuskan bahawa perlawanan antara Korea Utara dan Malaysia tidak akan berlangsung di Pyongyang pada 5 Oktober itu. Lain-lain perkembangan berhubung status perlawanan berkenaan akan dimaklumkan oleh AFC,” katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam.

    Aksi Malaysia menentang Korea Utara sepatutnya berlangsung pada 28 Mac lalu, namun ditangguhkan akibat ketegangan hubungan kedua-dua negara ekoran pembunuhan abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang pada 13 Februari lalu.

    Tarikh baharu pada 8 Jun juga terpaksa diubah ekoran hubungan Malaysia dan Korea Utara yang masih belum pulih. - KOSMO

    Subjects:

  • No Comment to " Harimau Malaya tak jadi terbang ke Pyongyang "