• Guru Dari Utara Harumkan Sekolah Pedalaman Sarawak Ke Mata Dunia

    Published: Wednesday, 13 September 2017
    A- A+


    MARUDI : Sebaik sahaja video pendek bertajuk 'Marung Usu' atau 'The Power of Hands' diumum sebagai pemenang Anugerah Bercerita Terbaik di Kid Witness News (KWN) Sidang Kemuncak Global 2017 di Tokyo, Jepun awal Ogos lalu, seorang guru kelahiran Pulau Pinang adalah antara individu yang melompat gembira.

    Muhammad Saffuan Jaffar, 28, ternyata amat berpuas hati melihat pengorbanan guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sepiling, Baram yang bertungkus-lumus memerah tenaga dan idea bagi menghasilkan video itu, di samping perit jerih melakukan perjalanan jauh enam jam melalui laluan sungai dan darat untuk ke bandaraya Miri bagi menyempurnakan pembuatannya, akhirnya mendapat pengiktirafan sewajarnya.

    Video itu cetusan idea empat murid iaitu Anilov Fabien Tingang,13, Juwita Ulean, 12, Fiona Fredick, 12, dan Michael Nyamun, 11, dengan dibantu oleh guru sekolah berkenaan.

    Ia disiapkan dalam masa sebulan dan ketika penggambaran dibuat, guru-guru, kakitangan sekolah dan penduduk kampung turut membantu.

    Dianjurkan oleh Panasonic Corporation, KWN merupakan program pendidikan yang direka bagi membantu produksi video buat pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh dunia dengan berkonsepkan 'Dunia Menerusi Mata Mereka'.

    Video berdurasi 4 minit 54 saat dalam Bahasa Kayan dan Iban hasil tangan pelajar SK Long Sepiling yang mengisahkan mengapa manusia perlu menghargai tangan dan anugerah Allah yang tiada nilainya itu, berjaya menewaskan pencalonan dari 18 negara lain.

    "Banyak cabaran dihadapi seperti kurang kemahiran menggunakan gajet, internet yang perlahan, dan tempoh lama penggambaran yang adakalanya cukup memenatkan murid-murid yang terlibat," kata Muhammad Saffuan kepada Bernama.

    SK Long Sepiling yang mempunyai sembilan murid dan 11 guru (termasuk guru besar) terletak di Daerah Kecil Baram, hanya dapat diakses menerusi jalan sungai dari bandar terdekat Marudi, yakni bandar yang mengambil masa tiga jam lagi perjalanan untuk sampai ke bandaraya Miri.

    Mengimbas kembali perasaan apabila dimaklumkan bakal ditempatkan di sebuah sekolah di pedalaman Sarawak, Muhammad Saffuan mengakui pada mulanya merasa sedikit gementar kerana ini kali pertama baginya untuk 'terbang' jauh selepas menerima pendidikan rendah, menengah, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru hanya di sekitar Pulau Pinang sahaja.

    "Perasaan saya gembira, sebab saya tidak lama menunggu sebaik menamatkan pengajian Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang untuk bertugas. Bagaimanapun saya rasa sedikit gementar kerana saya tak tahu di mana saya bakal ditempatkan di Sarawak," katanya.

    Menyifatkan mengajar di sebuah sekolah pedalaman sebagai satu 'perjuangan' untuk mendidik anak bangsa, Muhammad Saffuan yang juga anak tunggal ini sering menerima kata-kata perangsang daripada ibu yang berada jauh di seberang Laut China Selatan.

    "Sumber kekuatan saya adalah ibu, biar pun ditempatkan jauh di pedalaman Sarawak, dia selalu beri saya semangat. Selain itu, saya turut membaca kisah-kisah guru Semenanjung yang pernah berkhidmat di negeri ini, kisah mereka juga sentiasa memberi semangat dan inspirasi.

    "Saya juga menerima sokongan rakan guru, yang sudah saya anggap seperti keluarga sendiri, saya ada 'bapa', 'abang', 'adik' dan 'kakak' di SK Long Sepiling," katanya yang mula mengajar di sekolah tersebut sejak 2015. Berkhidmat di pedalaman Sarawak, pastinya Muhammad Saffuan mempunyai pelbagai pengalaman menarik.

    "Antara pengalaman menarik saya pernah bermalam di rumah panjang di Bario, saya berpeluang melihat dan mendekati cara hidup masyarakat Kelabit. Semasa bertugas sebagai kerani mengundi, saya berpeluang naik helikopter dari Marudi ke Long Pillah, Baram," katanya.

    Bercakap mengenai tema Hari Kebangsaan iaitu 'Negaraku Sehati Sejiwa', Muhammad Saffuan menyifatkan kehadirannya di Sarawak sebagai selain mendidik anak bangsa sebagai wadah integrasi nasional yang baik.

    "Bertugas di Sarawak, saya hidup dalam komuniti yang berlainan berbanding di Semenanjung. Di sini (Long Sepiling) saya belajar cara hidup etnik tempatan (majoriti masyarakat Kayan). Walaupun berbeza latar belakang budaya, rakyat Malaysia, saling hormat menghormati antara satu sama lain," katanya yang kini juga aktif menyertai Miri Amateur Radio Club. -  BERNAMA
  • No Comment to " Guru Dari Utara Harumkan Sekolah Pedalaman Sarawak Ke Mata Dunia "