• Guru Cedera Dipukul Bapa Sado

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    Satu insiden kekecohan antara bapa kepada seorang murid dengan seorang guru lelaki berlaku di sebuah sekolah di Brunei sehingga menyebabkan guru berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan dalaman di bahagian perut.

    Dua rakaman insiden itu tular di laman Facebook selepas klip video tersebut dimuat naik di laman Facebook Borneo, semalam sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

    Difahamkan, insiden berlaku selepas bapa kepada murid terbabit yang tidak berpuas hati anaknya dikenakan hukuman gantung sekolah datang ke sekolah tersebut untuk mendapatkan penjelasan.

    Lapor laman Facabook itu, selepas siasatan dibuat berhubung dakwaan tersebut, ia didapati tidak benar dan murid itu sengaja mereka cerita.

    Bagaimanapun, menurut dakwaan netizen di laman Facebook tersebut, keadaan bertukar kecoh selepas guru lelaki itu secara tiba-tiba bertindak kasar semasa ibu bapa murid terbabit mahu berbincang.

    Dalam dua rakaman yang tersebar itu, kelihatan beberapa orang guru menghalang bapa pelajar terbabit daripada terus memukul guru berkenaan dan meminta penjelasan kenapa beliau bertindak demikian.

    Seorang pengguna Facebook bernama Cib Scxso menjelaskan situasi yang berlaku berdasarkan perbualan dalam rakaman video tersebut.

    Dakwa Cib Scxso, insiden pergaduhan tercetus ekoran tindakan guru lelaki berkenaan menampar muka bapa saudara murid terbabit.

    "Kes cikgu susah nak dibawa berunding. Bapa kepada pelajar yang dihukum ini hanya mahu meminta kepastian mengapa anaknya dihukum. Malah, dia juga meminta bukti apakah benar anaknya merokok.

    "Namun, cikgu itu menampar muka bapa saudara pelajar terbabit. Jadi, tercetuslah pergaduhan sehingga insiden tumbuk menumbuk, menyebabkan cikgu itu cedera, retak tulang pipi," tulisnya.

    Berdasarkan klip video, jelas kelihatan seorang lelaki dipercayai guru berkenaan sedang terbaring di atas lantai, menahan kesakitan pada bahagian perutnya.

    Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook bernama Nakamura Nagita tampil menceritakan hal yang terjadi.

    Dakwanya, berdasarkan maklumat daripada sumber terdekat, dalam kejadian pada 14 Sepetember lalu, murid terbabit ditangkap menghisap rokok di kawasan sekolah dan guru berkenaan menegur perbuatan tersebut.

    Namun, dipercayai murid terbabit bertindak melawan teguran guru berkenaan menyebabkan beliau naik angin lalu berlaku kekasaran. Murid terbabit dipercayai kemudian memberitahu ibu bapanya mengenai insiden yang berlaku dan bapa dia datang ke sekolah untuk menyelesaikan hal tersebut pada 16 September lalu.

    Dakwa Nakamura Nagita lagi, semasa bapa murid terbabit sedang mendengar penjelasan daripada pengetua, guru lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Cikgu Pandi tiba-tiba datang dalam keadaan marah dan mengatakan anak lelaki itu telah melakukan kesalahan tetapi enggan mengaku.

    “Keadaan semakin panas dan masing-masing meninggikan suara. Keadaaan cuba ditenangkan oleh guru di sana sementara adik bapa murid itu meminta Cikgu Pandi bertenang tetapi cikgu berkenaan bertindak menampar mukanya dan lelaki itu membalas,” tulisnya.

    Difahamkan, berlaku tumbuk-menumbuk sehingga mengakibatkan guru berkenaan ditendang pada bahagian kemaluan.

    Akibat daripada pergaduhan itu, bapa kepada murid terbabit yang bekerja sebagai anggota tentera telah diberhentikan kerja serta merta, sementara guru berkenaan masih menerima rawatan dipercayai mengalami kecederaan dalaman di bahagian perut.

    Guru-guru di sekolah itu juga diminta membuat kenyataan di balai polis berhubung insiden tersebut. Difahamkan, siasatan lanjut berhubung insiden itu sedang dijalankan.

    Di laman Facebook, netizen memberi reaksi pelbagai terhadap insiden itu, di mana segelintir daripada mereka menyalahkan bapa murid terbabit, sementara ada juga yang mempersoalkan tindakan guru lelaki berkenaan kerana mencetuskan pergaduhan.

    Namun, sehingga kini tidak dapat dipastikan mengenai kebenaran dan punca sebenar insiden tersebut.

    Tatkala, pelbagai masalah sosial dilaporkan berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah, seharusnya perbincangan antara ibu bapa dan pihak sekolah mengenai hal itu menjadi satu perkara yang positif dan bukan sebaliknya.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Guru Cedera Dipukul Bapa Sado "