• GERAKAN Kecam Penindasan Etnik Rohingya

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: GERAKAN mendesak kerajaan Myanmar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memberhentikan penindasan terhadap etnik Rohingya serta-merta.

    Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata penindasan etnik minoriti Rohingya oleh kerajaan Myanmar di Rakhine mencetuskan krisis kemanusiaan menyebabkan etnik itu menjadi pelarian seperti dilaporkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

    "Saya berasa sedih membaca berita mengenai penindasan serta kesengsaraan dialami etnik Rohingya di Myanmar. Sabah hari mereka menjadi mangsa penindasan di negara sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Hampir 90,000 pelarian Rohingya sudah melarikan diri ke Bangladesh sejak keganasan tercetus di Myanmar bulan lalu, sekali gus memberi tekanan kepada agensi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan.

    Siew Keong berkata, krisis itu wajar mendapat perhatian serius masyarakat dunia dan mereka seharusnya mencontohi kerajaan Malaysia yang turut berkongsi keprihatinan untuk membela nasib masyarakat Rohingya di negara ini.

    Katanya, negara ini menawarkan perlindungan kepada pelarian Rohingya dan menganjurkan kapal misi bantuan kemanusiaan Nautical Aliya ke Myanmar pada Februari lalu.

    Beliau berkata, pendirian dan hasrat masyarakat Malaysia adalah jelas bahawa negara ini membantu atas semangat kemanusiaan sejagat dan berharap kerajaan Myanmar akan bertindak memberhentikan krisis di Rakhine yang berlarutan sejak Jun 2012.

    Katanya, mengikut maklumat daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga Oktober 2016, seramai 54,856 pelarian Rohingya berlindung di Malaysia.

    "Malah, ada pihak yang mendakwa jumlah mereka mungkin melebihi 100,000 orang serta separuh lagi didakwa belum mendaftar secara sah dengan UNCHR," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " GERAKAN Kecam Penindasan Etnik Rohingya "