• 'Geng Iriz' Tumpas

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    Polis berjaya memberkas tiga lelaki dan seorang wanita yang juga anggota ‘Geng Iriz’ dipercayai menggunakan kereta Proton Iriz sewa untuk melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Alor Setar, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superitendan Yazri Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 32 tahun itu ditahan di sebuah hotel bajet di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada jam 10 malam.

    “Penangkapan keempat-empat suspek berkenaan dilakukan selepas kita menerima maklumat berkenaan satu kejadian pecah rumah pada jam 1.20 petang di Taman Bersatu, Kuala Kedah sebelum itu.

    “Dalam kejadian itu, pelbagai barangan elektrik seperti televisyen, wang tunai berjumlah RM400, barang kemas dan barangan lain dilarikan oleh suspek berkenaan,”katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hari ini.

    Tambahnya, risikan dan siasatan selepas itu membawa polis ke sebuah hotel bajet di Bukit Mertajam di mana kesemua suspek yang berasal dari Alor Setar itu menginap.

    “Kita berjaya menjumpai semula barangan yang dilarikan dalam bilik hotel yang didiami suspek serta dalam kereta Proton Iriz yang dipercayai disewa dalam usaha mengelakkan daripada dikesan oleh pihak polis.

    “Kita percaya modus operandi mereka adalah mereka akan menggunakan alat pemotong kunci serta kereta Proton Iriz yang disewa dan akan berlegar di beberapa taman perumahan serta kawasan kampung di sekitar bandaraya Alor Setar untuk meninjau rumah tanpa penghuni sebelum memecah masuk.

    “Malah mereka juga akan mencuba menekan loceng rumah yang akan dimasuki untuk memastikan tiada kelibat pemilik atau penghuni rumah agar memudahkan kerja mereka untuk memasuki rumah berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, penggunaan kereta sewa adalah bagi mengelakkan dikesan pihak polis serta tidak menimbulkan syak dalam kalangan penduduk di kawasan perumahan berbanding menggunakan motosikal.

    “Berdasarkan rekod, salah seorang suspek lelaki dalam kumpulan itu sangat dikehendaki oleh polis berhubung beberapa kes pecah rumah manakala suspek wanita yang ditahan pula dipercayai adalah teman wanita kepada ketua kumpulan suspek kumpulan yang berusia 32 tahun,” katanya.

    Yazri berkata, pihaknya percaya dengan tumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes pecah rumah di sekitar Alor Setar sejak setahun lalu dan kerugian dianggarkan melebihi RM15,000.

    Semua suspek kini direman sehingga 14 September untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Geng Iriz' Tumpas "