• Geng Dino Tumpas

    Published: Wednesday, 27 September 2017
    A- A+


    MELAKA: Polis menumpaskan Geng Dino yang dipercayai terbabit dalam 17 kes curi kereta, motosikal dan pelbagai barangan lain selepas menahan 13 anggotanya, termasuk seorang wanita di beberapa lokasi sejak Ogos lalu hingga awal bulan ini.

    Penahanan anggota sindiket, termasuk ketua kumpulan dikenali Dino berusia 31 tahun itu turut membawa kepada penemuan enam kereta, dua motosikal dan 60 barangan kes dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000.

    Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hasan, berkata polis menubuhkan satu pasukan khas selepas menerima banyak laporan berhubung kejadian jenayah yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan sama.

    Katanya, dalam tangkapan antara 18 Ogos hingga 9 September lalu, polis terlebih dulu menahan ketua kumpulan terbabit di Klebang Besar, di sini, diikuti 12 lagi tangkapan, termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 70 tahun.

    "Siasatan awal mendapati, suspek utama dipercayai aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan sejak Januari lalu selepas dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh, Selangor.

    "Susulan tangkapan ke atas suspek, polis menahan 12 lagi anggotanya di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor yang berperanan sebagai pencuri kereta, pembeli, meleraikan komponen dan orang tengah dalam urusan jual beli komponen," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang.

    Abdul Jalil berkata, kumpulan itu tidak hanya menyasarkan kenderaan mewah, sebaliknya memburu kenderaan mengikut permintaan pembeli yang akan dijual pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran dengan menukar plat nombor pendaftaran kenderaan.

    "Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan kenderaan pada harga yang terlalu rendah dan merujuk kepada pihak polis sekiranya ragu-ragu dengan kegiatan jualan yang ditawarkan oleh mana-mana kumpulan mencurigakan," katanya.-BHarian

    Subjects:

  • No Comment to " Geng Dino Tumpas "