• Gempa Bumi Akibat Ujian Nuklear Korea Utara

    Published: Monday, 4 September 2017
    A- A+
    SEOUL – Korea Utara semalam melancarkan ujian nuklear keenam dan pa­ling kuat yang menyebabkan berlaku gempa bumi, kata Jepun dan Korea Selatan.

    Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Pyongyang mendakwa telah membangunkan bom hidrogen yang mempunyai kuasa pemusnah hebat.

    Ketua-Ketua Staf Tentera Korea Selatan dalam satu kenya­taan berkata, gempa bumi buatan manusia itu berlaku pada pukul 12.29 tengah hari waktu tempatan di Kilju, Wilayah Hamgyong, utara Korea Utara.

    Ujian bom bawah tanah itu dipercayai dilancarkan berhampiran sempadan China.

    Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gegaran berukuran 6.3 magnitud iaitu 10 kali ganda lebih berkuasa dikesan berbanding ujian sebelum ini.

    Letupan itu dilaporkan lapan kali lebih kuat berbanding bom atom yang digugurkan tentera Amerika Syarikat (AS) di Hiroshima, Jepun semasa Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.

    Bom yang digugurkan di Hiroshima itu adalah sekuat 15 kiloton manakala di Nagasaki pula dianggarkan sekuat 20 kiloton.

    Sebuah pertubuhan memantau gegaran gempa bumi, NORSAR menyatakan, ujian bom nuklear Korea Utara itu mempunyai kekuatan 120 kiloton.

    Tindakan Korea Utara itu memberi tamparan hebat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang beberapa jam sebelum itu bercakap menerusi telefon dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkaitan krisis nuklear di wilayah berkenaan. - KOSMO

    Subjects:

  • No Comment to " Gempa Bumi Akibat Ujian Nuklear Korea Utara "