• Gaya Hidup Negatif Punca Remaja Pro Jenayah

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: Terdapat banyak faktor yang mendorong penglibatan langsung remaja bawah umur melakukan tindakan di luar jangkaan sehingga terjerumus kepada jenayah.

    Pakar Kriminologi dan Psikologi, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Dr. Geshina A Mat Saat berkata, lazimnya golongan itu mempunyai sikap pro-jenayah yang lebih cenderung menimbulkan tindak balas agresif.

    "Mereka didorong oleh beberapa faktor antaranya banyak didedahkan kepada gaya hidup negatif, melihat keganasan sebagai jawapan untuk menyelesaikan pertikaian atau konflik.

    "Mereka juga kurang bersikap empati, nakal, mempunyai role model yang negatif, mempunyai rasa ketidakadilan, mentaliti kumpulan yang menyokong dan mendorong kepada kelakuan agresif," katanya.

    Menurutnya, secara amnya, kanak-kanak mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk memberi reaksi emosional terhadap hasil rangsangan luar.

    Katanya, golongan itu juga lebih cenderung merasakan wujudnya provokasi walaupun tidak ada sumber atau kejadian provokasi.

    "Keadaan ini berlaku kerana kurangnya pemikiran yang matang, sesuatu keputusan dibuat untuk memenuhi perasaan dan keperluan sendiri, bukannya memikirkan sama ada keputusan tersebut akan mempunyai kesan domino," katanya.

    Sabtu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan tujuh remaja yang berusia lingkungan 11 hingga 18 tahun ditahan sebagai suspek dalam siasatan

    kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut mengenainya Geshina berkata, bagi memperbetulkan kelakuan remaja hari ini, golongan itu perlu menjalani penilaian psikososial dan kriminogenik terlebih dahulu.

    "Tidak ada penyelesaian yang mudah mahupun segera. Ia adalah isu generasi yang memerlukan intervensi, sokongan berterusan dan berkala.

    "Gaya keibubapaan dan dinamik keluarga memainkan peranan penting dalam permulaan sikap bermasalah dan pro-jenayah," katanya.

    Beliau berkata, pencegahan jenayah mempunyai beberapa tahap bermula dengan primer, sekunder, tertiari, dan situasional.

    Katanya, semua orang, tidak kira apa tahap mereka dalam masyarakat mempunyai peranan dalam dalam membantu pencegahan jenayah ini.

    "Pencegahan jenayah yang berkesan memberi tumpuan kepada punca jenayah, bukan kesannya. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan atau menghapuskan faktor-faktor yang boleh membawa kepada jenayah," katanya.

    Menurutnya, pencegahan jenayah boleh berlaku secara berperingkat, primer fokusnya secara proaktif untuk menghentikan jenayah sebelum ia berlaku.

    "Manakala pencegahan jenayah sekunder bertujuan mengubah orang, biasanya mereka yang berisiko tinggi untuk melakukan jenayah, manakala pencegahan jenayah tertiari pula tertumpu pada operasi sistem keadilan jenayah untuk menangani jenayah setelah insiden jenayah terjadi," katanya.-Sinar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Gaya Hidup Negatif Punca Remaja Pro Jenayah "