• Gaji Hanya RM50 sebulan

    Published: Thursday, 14 September 2017
    A- A+

    DIJANJIKAN pekerjaan dengan bayaran RM50 sehari tetapi selepas ditolak hutang kepada ejen dan bayaran lain, gaji yang diterima sebulan sama dengan bayaran sehari.

    Itu nasib lapan warga Kemboja yang berjaya melarikan diri ke Kedutaan Kemboja di Jalan Uthant, Kuala Lumpur sebelum diselamatkan Bahagian D7C, Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman, diketuai Ketua Penolong Pengarahnya, Asisten Komisioner Maszely Minhad, semalam.

    Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Jenayah Bersindiket) Bukit Aman, Deputi Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, lapan warga Kemboja terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 43 tahun itu mendakwa dipaksa bekerja lebih 12 jam setiap hari tanpa bayaran tambahan serta tidak dibenarkan cuti.

    Malah, menurutnya bayaran yang diterima tidak seperti yang dijanjikan dan mereka terikat hutang dengan ejen yang membawa mereka masuk ke negara ini.

    "Mereka yang berjaya melarikan diri ini terdiri daripada dua kumpulan yang masing-masing bekerja di kilang kain di Johor dan kilang papan di Pahang," katanya kepada Harian Metro.

    Saiful berkata, susulan itu, polis berjaya menahan empat lelaki Kemboja berusia 25 hingga 48 tahun, termasuk dalang utama bertaraf penduduk tetap dalam serbuan berasingan di Klang, malam tadi.

    Menurutnya, polis menemui lebih 100 pasport terdiri daripada pasport Myanmar, Indonesia dan Kemboja dalam serbuan pertama di sebuah rumah milik dalang utama di Klang.

    "Polis turut menemui wang lebih RM27,000, beberapa dokumen dipercayai buku catatan pekerja dan cadangan gaji.

    "Suspek kemudian dibawa ke pejabatnya dan polis merampas satu fail yang mengandungi dokumen pendaftaran syarikat, kontrak perjanjian dan perjanjian bayaran hutang.

    "Ketika pemeriksaan dibuat, seorang lelaki Kemboja mengaku pekerja kepada suspek datang ke premis itu dan dia turut ditahan untuk pemeriksaan," katanya.

    Saiful berkata, pemeriksaan pada beg galas lelaki berusia 30 tahun itu menemui buku dipercayai catatan bayaran kepada pekerja, wang lebih RM9,000, mata wang Amerika Syarikat 1500USD (RM6,288) dan dua telefon pintar.

    Dalam serbuan berasingan jam 10.30 di sebuah rumah di Jalan Selamat, Off Sungai Udang, Klang menahan dua lelaki warga Kemboja dengan seorang daripadanya pemegang kad UNCHR berusia 25 dan 36 tahun.

    Beliau berkata, dalam serbuan itu sebuah komputer riba, buku hutang, buku cek, kad pengetik waktu, jadual kerja pekerja, satu pasport Kemboja dan telefon pintar.

    Katanya, semua barang kes dirampas dan keempat-empat suspek ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti pemerdagangan orang untuk eksploitasi buruh paksa mengikut kesalahan Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

    Suspek pertama juga melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah dan kesalahan, Seksyen 12(1) (f) Akta Passport 1966 kerana memiliki passport orang lain. -HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Gaji Hanya RM50 sebulan "