• Format Baharu Undian Piala Dunia 2018

    Published: Friday, 15 September 2017
    A- A+

    ZURICH: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan format baru dan lebih mudah bagi undian Piala Dunia 2018 dengan kedudukan pasukan bertanding ditentukan menerusi ranking berbanding benua mereka wakili.

    Badan induk bola sepak dunia itu berkata semua 32 pasukan akan dibahagikan kepada empat balang dengan tujuh pasukan di ranking terbaik, ditambah tuan rumah, Russia diletakkan dalam balang pertama.

    Pasukan di kedudukan ranking selepas lapan terbaik diletakkan di balang kedua dan seterusnya.

    Setiap kumpulan yang beraksi dalam pusingan pertama akan diisi oleh satu pasukan daripada balang pertama yang ditentukan oleh undian.

    FIFA berkata satu-satunya kekangan geografi ialah tiada kumpulan yang memiliki dua pasukan daripada benua yang sama kecuali Eropah.

    Undian pada kempen Piala Dunia di Brazil sebelum ini membabitkan sistem yang kompleks di mana pasukan dibahagikan berpandukan kepada ranking bagi balang pertama dan benua yang mereka wakili untuk selebihnya.

    Begitupun, untuk mendapatkan angka berkenaan, satu ‘pra undian’ dijalankan dengan balang sementara X diwujudkan yang mencipta sistem dikatakan pengkritik sebagai tidak perlu dan rumit.

    FIFA berkata, kedudukan ranking itu yang akan diterbitkan pada 16 Oktober ini, bakal digunakan untuk undian berkenaan di Moscow pada 1 Disember ini.

    Penggunaannya akan mengelak satu lagi kontroversi yang timbul pada 2014 apabila ranking ketika November digunakan dengan kebanyakan pengkritik mengatakan ia memberikan kelebihan kepada pasukan yang terbabit dalam aksi play-off dalam bulan berkenaan.

    Antara pasukan yang turut menghuni tujuh ranking terbaik dunia ketika ini ialah Switzerland dan Poland manakala Peru dan Wales mungkin berada di balang dua bersama-sama Perancis dan Sepanyol jika mereka layak.

    Itali ketika ini berada di tangga ke-17 ranking dunia yang meletakkan mereka di balang ketiga sekiranya layak.

    Brazil, Iran, Mexico, Jepun, Belgium, Korea Selatan dan Arab Saudi adalah pasukan yang sudah layak ke Russia setakat ini.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Format Baharu Undian Piala Dunia 2018 "