• F1: Kisah enjin McLaren bayangi kepantasan jentera Red Bull

    Published: Saturday, 16 September 2017
    A- A+

    SINGAPURA: Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo dan Max Verstappen menduduki carta teratas pada sesi latihan bebas F1 Grand Prix Singapura semalam, tatkala tindakan McLaren bertukar pembekal enjin Honda menjadi bualan di luar litar.

    Ricciardo mencatat rekod masa sepusingan 1 minit 40.852 saat pada sesi kedua di litar jalanan Marina Bay, manakala Verstappen hanya setengah saat perlahan - dengan dua pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas mengisi kedudukan ketiga dan keempat terpantas.

    Keempat-empat pemandu itu terlalu pantas berbanding Ferrari, sekali gus menceritakan masalah yang mungkin dihadapi pasukan Itali itu apabila Kimi Raikkonen sekadar kesembilan terpantas, dua saat lebih perlahan manakala Sebastian Vettel di tangga ke-11.

    Vettel adalah pemenang empat kali di perlumbaan malam Singapura, yang bermula pada 2008 dan dilanjutkan kontrak sehingga 2021, seperti yang diumumkan penganjur.

    Vettel hadir ke negara Asia Tenggara itu dengan hanya tiga mata di belakang Hamilton, yang menemui sentuhan juaranya apabila memenangi tiga daripada empat GP terakhir sebelum ini.

    Pemandu Renault, Nico Hulkenberg di tempat kelima manakala dua pemandu McLaren, Stoffel Vandoorne dan Fernando Alonso, masing-masing di tempat keenam dan ketujuh.

    Persembahan dua pemandu McLaren itu mengesahkan lagi perubahan yang bakal dilakukan pasukan itu untuk menamatkan kerjasama dengan pembekal enjin dair Jepun Honda, yang bermula sejak 2015.

    McLaren akan menggunakan jentera Renault tahun depan, serentak dengan beritanya akan meninggalkan pasukan Toro Rosso yang akan menggunakan enjin Honda pula.

    Perjanjian kerjasama itu turut membabitkan pemandu Toro Rosso, Carlos Sainz yang akan dipinjamkan kepada pasukan Renault pada 2018, lantas menyingkirkan pemandu ujian Jolyon Palmer.

    "Pengumuman hari ini memberikan kestabilan yang kami perlukan untuk program casis dan teknikal bagi 2018," kata pengarah eksekutif McLaren, Zak Brown. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " F1: Kisah enjin McLaren bayangi kepantasan jentera Red Bull "