• Erra Dan Aleesya Tumpang Gembira Majlis Bella-Emran

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+
    KISAH cinta penyatuan antara Laudya Cynthia Bella dengan ‘pencuri’ hatinya, Engku Emran Engku Zainal Abidin semakin mendapat perhatian bukan sahaja di Malaysia tapi juga di Indonesia.

    Hubungan rapat mereka berdua ini nampaknya sudah direstui oleh puteri tunggal hasil perkahwinan Emran dan Miss World 1992, Erra Fazira.

    Engku Aleesya yang kini sudah berusia 8 tahun kelihatan begitu selesa di samping bakal ibu barunya itu ketika mengikuti Bella dan Emran ke perkahwinan sahabat Bella iaitu Whulandary Herman baru-baru ini.

    Erra ketika ditemui oleh pihak Harian Metro juga nampaknya tumpang gembira dengan berita baik yang dikhabarkan itu.

    “Seikhlasnya saya sangat gembira buat pasangan ini. Saya bersyukur dan lapang dada apabila pertama kali Emran memperkenalkan bakal isterinya. Saya lihat Bella seorang yang sangat mudah didekati dan lemah lembut,” kata Erra dengan gembira.

    Sebagai bekas isteri, Erra juga turut mendoakan agar majlis yang dirancangkan itu berjalan dengan mudah dan dia juga gembira kerana Aleesya bakal mendapat ibu baru.

    “Saya paling senang dan bersyukur kerana Aleesya turut gembira dan bahagia dengan kehadiran Bella. Semoga penyatuan ini dilimpahi dengan kasih sayang dan keberkatan Allah. Saya doakan mereka bahagia bersama hingga ke jannah. Amin,” jelas Erra lagi kepada pihak media.

    Walaupun tarikh bersejarah mereka itu masih dirahsiakan, namun dilaporkan bahawa mereka bakal bernikah pada pertengahan bulan ini. Namun, majlis itu akan diadakan secara tertutup di Kuala Lumpur.

    Engku Emran, 42, masih lagi menyimpan rahsia ini dan tidak berkongsi apa-apa berita ataupun sebarang persiapan daripada pihaknya.

    Namun, Bella mewakili pihak pengantin perempuan bersifat terbuka untuk berkongsikan detik penyatuan mereka itu. Bella, 29, ketika ditemui oleh pihak media Indonesia menjawab soalan yang diajukan secara tenang sekali.

    “Persiapannya saya mohon doa sahaja, inshaa Allah semoga semuanya berjalan dengan lancar,” kata Bella kepada pihak Okezone.com.

    Bella juga ada ‘membocorkan rahsia’ sebab mengapa dia terpikat dengan Emran di dalam segmen Showbiz menerusi portal Liputan6.com.

    Katanya Emran mula berhenti merokok dan seorang yang rajin mengaji al-Quran selain aktif dalam sukan berbasikal yang diminatinya.

    Mudah-mudahan segala urusan kedua-dua pasangan ini dipermudahkan oleh Sang Pencipta. Sama-sama kita tunggu bilakah tarikh pernikahan mereka. – MYNEWSHUB

    Subjects:

  • No Comment to " Erra Dan Aleesya Tumpang Gembira Majlis Bella-Emran "