• Empat Lagi Sistem Pertahanan Anti-Peluru Berpandu Ditempatkan Di Korea Selatan

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+


    SEOUL - Empat lagi unit Sistem Pertahanan Anti-Peluru Berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) akan dipasang minggu ini di pangkalan pertahanan Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan, umum Kementerian Pertahanan Nasional semalam.

    THAAD dijadual dipasang Angkatan Tentera AS (USFK) hari ini, di pangkalan baharunya di Seongju, kira-kira 300 kilometer di selatan Seoul meskipun menerima tentangan hebat daripada penduduk tempatan dan aktivis, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

    Langkah itu, susulan ujian peluru berpandu dan nuklear balistik yang dilancarkan Korea Utara baru-baru ini.

    Menurut kementerian penggunaanya adalah bersifat "sementara" dan tetap menekankan pentingnya keperluan untuk melakukan penilaian tambahan terhadap kesannya kepada alam sekitar yang dijangka mengambil masa beberapa bulan.

    Baru-baru ini, kerajaan selesai menjalankan tinjauan kesan alam sekitar skala kecil yang mengambil masa selama sebulan.

    "Tiada perubahan mengenai keputusan sama ada sistem THAAD akan digunakan (di Korea Selatan) selepas melaksanakan penilaian keseluruhan alam sekitar ke atas kawasan pemasangan sistem dan ia akan dilaksanakan secara terpeinci serta saksama," kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.

    Pelaksanaan sistem pertahanan anti-peluru berpandu itu dipersetujui sejak setahun lepas namun ditangguhkan di tengah kontroversi berhubung kaji selidik alam sekitar yang sepatutnya perlu dilakukan terlebih dahulu.

    Ia juga menjadi isu diplomatik rumit kerana China dan Rusia membantah keras pemasangan THAAD yang disifatkan bertujuan untuk memperkuatkan kehadiran tentera Washington di rantau itu dan boleh menjejaskan kepentingan keselamatan.

    Sebaliknya, Seoul dan Washington mendakwa ia hanya bertujuan mempertahankan diri daripada serangan Korea Utara.

    Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang menyuarakan kebimbangan serius mengenai pemasangan tambahan sistem itu serta menggesa Korea Selatan dan Amerika Syarikat untuk membatalkannya.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Empat Lagi Sistem Pertahanan Anti-Peluru Berpandu Ditempatkan Di Korea Selatan "