• Dua Ditahan Samurai, Parang dan Senapang Buatan Sendiri Dirampas

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    KUCHING: Polis menahan dua lelaki berusia 27 dan 47 tahun dan merampas dua laras senapang buatan sendiri dan empat bilah senjata termasuk parang dan pedang samurai semalam.

    Kedua-dua suspek yang berasal dari Sebuyau itu ditahan selepas pemeriksaan dilakukan keatas kenderaan mereka yang mencurigakan diletak di kawasan letak kereta Pasar Sungai Maong pada jam 2.15 pagi.

    Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan penahanan tersebut dan berkata mereka ditangkap semasa sepasukan anggota dari Balai Polis Satok melakukan rondaan di tempat parkir Pasar Sungai Maong dan terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil bernombor pendaftaran QKW2370 yang dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan, polis menjumpai beberapa senjata api dan senjata berbahaya selain tiga butir peluru di bawah tempat duduk penumpang hadapan dan turut dijumpai satu unit pisau kecil yang diletakkan di belakang poket tempat dududk pemandu selain satu beg hitam mengandungi alat untuk membakar dadah dipercayai syabu dan bungkusan pil ubat,” katanya.

    Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuching untuk mendapatkan permohonan reman bagi membantu siasatan polis.

    Kes kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.-Sarawakiana
  • No Comment to " Dua Ditahan Samurai, Parang dan Senapang Buatan Sendiri Dirampas "