• Dovizioso Mahu Guna Kelebihan Laman Sendiri

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+

    MISANO ADRIATICO (Itali): Pendahulu kejuaraan MotoGP yang baharu, Andrea Dovizioso akan ke perlumbaan Grand Prix San Marino hujung minggu ini dengan jurang mata sedikit untuk dipertahankan berbanding juara dunia, Marc Marquez.

    Penunggang Itali itu yang mengambil alih kedudukan Marquez di persada pungutan mata dengan kemenangan di Silverstone, berasal dari Forlimpopoli, sebuah bandar yang hanya 65 kilometer dari litar Misano dekat Rimini.

    Penunggang Ducati itu tampak akan menggunakan kelebihan di tempat sendiri terutama apabila rakan sepasukan yang juga lagenda, Valentino Rossi tidak beraksi kerana patah kaki ketika latihan.

    "Hadir ke Misano selaku pendahulu kejuaraan amat menakjubkan, walaupun saya simpati Rossi tidak akan datang ke sana kerana ia juga akan menjadi sesuatu yang hebat bertarung dengannya," kata Dovizioso.

    "Sebelum ini litar Misano tidak begitu memihak kepada Ducati, tetapi sejak beberapa minggu lalu kami melakukan ujian positif di litar ini dan kami berada dalam prestasi terbaik, jadi kami akan cuba mendapatkan keputusan terbaik di sini."

    Penunggang berusia 31 tahun itu gagal dalam pemburuan gelaran sebulan lalu apabila ketinggalan 21 mata di belakang Marquez selepas penunggang Sepanyol itu menang berturut-turut di Jerman dan Republik Czech.

    Namun Dovizioso bangkit dengan kemenangan berturut-turut walaupun masih ada lima penunggang dalam lingkungan 35 mata untuk perebutan kejuaraan. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Dovizioso Mahu Guna Kelebihan Laman Sendiri "