• Dituduh Rogol Anak Kandung, Isteri Kata Suami ‘Tidak Salah’

    Published: Thursday, 21 September 2017
    A- A+

    KAJANG : Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang berusia 14 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami tekanan perasaan dan mengelar pergelangan tangannya.

    Tertuduh yang berumur 37 tahun dan merupakan seorang tukang kebun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

    Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di rumahnya di sini antara bulan Mac tahun ini hingga Julai lepas antara pukul 1 pagi hingga 3 pagi.

    Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

    Timbalan pendakwa raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandung tertuduh dan perbuatannya menyebabkan anak sulungnya itu mengalami tekanan sehingga bertindak mengelar pergelangan tangannya.

    Beliau berkata mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di sini kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital dan berada dalam pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memberitahu mahkamah dia tidak melakukan perbuatan itu sebaliknya dia hanya memukul anaknya itu.

    Isteri tertuduh yang turut hadir sebagai penjamin turut berkali-kali memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak bersalah dan dia tidak mempunyai wang untuk menjamin suaminya.

    Hakim Surita tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas faktor keselamatan mangsa dan menetapkan 17 Okt untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. ― Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Dituduh Rogol Anak Kandung, Isteri Kata Suami ‘Tidak Salah’ "