• Desak Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi Ditarik Balik

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B) mendesak hadiah Nobel Keamanan yang diberikan kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi ditarik balik berikutan kegagalannya menangani isu etnik Rohingya di negara berkenaan.

    Presidennya, Mohd Nizam Omar berkata, nobel keamanan yang dianugerahkan kepada Suu Kyi pada 1991 tidak layak dipegang seseorang sepertinya yang tidak lagi perjuangkan hak dan keamanan sejagat, terutama di negara kelahiran sendiri.

    "Nobel Keamanan yang diterima Suu Kyi kerana kononnya mewujudkan keamanan dan perdamaian di Myanmar sudah tidak bermakna dan kami mendesak ditarik balik serta-merta.

    "Satu surat rasmi mengenai desakan itu akan dihantar kepada Pengerusi Jawatankuasa Nobel Keamanan, Kaci Kullman Five dalam tempoh terdekat," katanya, dalam satu kenyataan, lewat petang hari ini.

    Sebelum ini, Suu Kyi menjadi sasaran kemarahan umat Islam di rantau ini kerana gagal menangani ketidakadilan yang menimpa masyarakat Rohingya di negara itu.

    Malah, beliau dilaporkan enggan menggunakan istilah Rohingya untuk kaum minoriti terbabit.

    Mohd Nizam berkata, GB4B kekal dengan pendirian mengecam sekeras-kerasnya kezaliman dan penindasan ke atas umat Islam Rohingya.

    Katanya, walaupun Malaysia berpendirian tidak mencampuri urusan dalaman mana-mana negara, namun isu pelarian etnik terbabit adalah perkara serius dan perlu ditangani bersama.

    Beliau berkata, kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur juga dilihat tidak mampu berfungsi dengan baik dan mencadangkan supaya Malaysia memutuskan hubungan dengan mereka selain menggesa langkah keselamatan diambil susulan penindasan ke atas etnik Rohingya.

    Katanya, akses kemanusiaan tanpa halangan diberikan kepada mereka yang terjejas akibat perkembangan semasa di Rakhine dan pada masa sama, situasi tegang di lokasi berkenaan perlu ditangani secara bijak, bagi mengelakkan lebih ramai etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran termasuk Malaysia.

    Keadaan itu bakal menyaksikan lebih ramai penduduk di Rakhine semakin terdedah untuk direkrut sebagai anggota kumpulan ekstremis.

    "Kami mengesyorkan isu keganasan dan diskriminasi yang berterusan ke atas minoriti Rohingya dibawa ke forum antarabangsa untuk dibincangkan. Negara ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) perlu bersatu bagi menyatakan ketegasan mereka terhadap kekejaman yang berlaku itu," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Desak Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi Ditarik Balik "