• Demokrasi Subur Di Bawah Pemerintahan Saya, Kata PM

    Published: Thursday, 14 September 2017
    A- A+

    “Itu benar-benar tidak masuk akal,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merujuk kepada tanggapan salah yang tersebar bahawa Malaysia terjerumus kepada pemerintahan diktator.

    Tegas beliau, demokrasi di Malaysia terus subur dan negara tidak berada dalam kancah berkenaan.

    “Namun, adalah benar bahawa seorang pemimpin pembangkang Malaysia mengakui yang beliau ialah seorang ‘diktator’ semasa beliau berkuasa.

    “Semasa beliau menjadi perdana menteri, ratusan orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akhbar termasuk akhbar harian utama, ditutup,” kata Najib.

    Perdana Menteri dalam lawatan kerja tiga hari di Amerika Syarikat berkata demikian dalam ucaptama pada majlis makan tengah hari dianjurkan Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa Amerika Syarikat (CSIS) semalam.

    Tambah Najib, era di mana badan kehakiman dikawal, kapitalisme kroni berleluasa dengan urus niaga yang dibuat membebankan rakyat Malaysia sehingga hari ini.

    “Tetapi demokrasi di Malaysia terus hidup dan di bawah pentadbiran saya ia diperkukuhkan. Kami memansuhkan ISA dan menamatkan darurat yang wujud lebih 60 tahun,” katanya.

    Diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Najib yang berada di Washington atas undangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan mengadakan perbincangan dengan pemimpin Amerika itu di White House pada Selasa.

    Dalam pada itu, Najib turut mendedahkan bahawa sekatan terhadap kebebasan media sudah ditarik balik dan mahasiswa boleh mengambil bahagian dalam aktiviti politik.

    “Demokrasi besar-besaran yang tidak dibenarkan di bawah bekas pemimpin itu dianjurkan di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lepas,” katanya kepada hadirin.

    Beliau turut menafikan bahawa kerajaan memenjarakan pengkritiknya.

    “Jika seorang ahli pembangkang melanggar undang-undang, beliau akan ditahan. Tetapi bukan kerana mengkritik.

    “Tidak, penahanannya kerana melanggar undang-undang- yang sebenarnya adalah normah di kebanyakan negara, dan rakyat Malaysia dan Amerika akan berasa bimbang jika sebaliknya,” katanya.

    Pada masa sama, Najib turut menyatakan bahawa pilihan raya di Malaysia menyaksikan pertandingan sengit, dengan menteri Kabinet dan ahli politik terkemuka pernah tewas.

    “Saya sendiri hanya sekadar dapat mengekalkan kerusi Parlimen saya pada 1999,” kata beliau merujuk kepada majoriti tipis 241 undi diperolehnya untuk kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan.

    Sementara itu, Najib turut membidas seorang ahli akademik terkemuka yang kembali ke tanah air dan dilantik pemegang kursi dibiayai Yayasan Noah yang ditubuhkan oleh datuknya kerana diddapati menggunakan setiap peluang untuk menyerang beliau dan dasar-dasar.

    “Beliau bebas untuk berbuat demikian, begitu juga lain-lainnya, betapa pun saya dan rakan-rakan saya mungkin fikir yang mereka salah.

    “Kenapa? Kerana itu yang kami percaya dan kami mengamalkan kebebasan bersuara di Malaysia,” katanya. - BNBCC

    Subjects:

  • No Comment to " Demokrasi Subur Di Bawah Pemerintahan Saya, Kata PM "