• Demam Neymar Di Seluruh Dunia

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    LONDON: Kehadiran pemain bintang Brazil, Neymar di Paris Saint-Germain disifatkan sebagai “menakjubkan bagi Perancis” oleh presiden kelab itu Nasser Al-Khelaifi.

    PSG membayar Barcelona 222 juta euro (RM1.1 bilion) untuk mendapatkan Neymar, 25, bulan lalu sebelum mengikat Kylian Mbappe secara pinjaman dengan pilihan untuk membelinya musim depan dengan harga hingga 180 juta euro (RM905 juta) bagi perjanjian kedua terbesar dalam sejarah.

    Mbappe, 18, menjadi buruan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dan perjanjian itu mencetus reaksi berang bos La Liga, Javier Tebas yang menuduh PSG dan kelab Inggeris, Manchester City sebagai mempersendakan peraturan kewangan UEFA.

    Nasser begitupun memberitahu akhbar Inggeris, Telegraph yang diterbitkan sebelum perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara PSG menentang Celtic di Glasgow, awal pagi esok bahawa kehadiran Neymar harus diraikan serta meningkatkan persaingan pertandingan elit itu.

    “Neymar adalah superstar antarabangsa,” kata Nasser.

    “Jenama antarabangsa. Semua orang bertanya ‘apakah yang sedang berlaku di Perancis dan liga Perancis? Neymar bermain untuk Paris Saint-Germain!’

    “Malah orang yang tidak berminat dengan bola sepak juga bercakap mengenainya. Perlawanan pertama Neymar di Guingamp disiarkan ke 183 negara. Ia menakjubkan buat Perancis dan liga Perancis.

    “Ia juga bagus buat Liga Juara-Juara kerana anda akan memperoleh satu lagi kelab yang mampu bersaing. Saya tidak bermaksud kami tidak lagi berada di sana, namun adalah penting untuk kelab baru menyertainya dan kelab dengan keinginan.”

    Nasser yang sebelum ini menyatakan memenangi Liga Juara-Juara sebagai “sasaran utamanya” berkata, impak yang dicetuskan Neymar ke atas PSG cukup luar biasa.

    “Hari ini kami ada masalah yang baik untuk diselesaikan iaitu kami tidak memiliki jersi yang mencukupi,” katanya. 

    “Ia sesuatu yang besar bagi kami. Saya berada di Amerika Syarikat minggu lalu dan saya melihat jersi PSG berada di mana-mana. Situasi sama berlaku di Asia dan Amerika Selatan.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Demam Neymar Di Seluruh Dunia "