• DBKL Bakal Bina Kompleks Penguatkuasaan

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Sebuah kompleks baharu yang menempatkan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), berharga kira-kira RM80 juta akan dibina di Bandar Tun Razak dalam masa terdekat.

    Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata pembinaan kompleks 15 tingkat itu yang serba lengkap dengan teknologi terkini, dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 2019.

    Beliau berkata kompleks tersebut merupakan satu keperluan kepada penguat kuasa DBKL ekoran bangunan sedia ada di Jalan Tun Razak di sini, akan dirobohkan bagi memberi laluan pembangunan di kawasan itu.

    “Tapak lama di Jalan Tun Razak itu kita menumpang dan tanah tersebut adalah tanah persendirian dan mereka ada perancangan. Kompleks baharu akan menempatkan lebih 1,500 anggota penguat kuasa, dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk depoh, padang kawad, stor senjata dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Hari Penguat Kuasa DBKL ke-48, di Padang Kawad Pusat Latihan DBKL, di sini. hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor..

    Sementara itu, berhubung isu video pertengkaran di antara seorang pemandu kereta dan anggota penguat kuasa yang tular di media sosial baru-baru ini, Mhd Amin menjelaskan perbuatan pemandu kereta itu seolah-olah tidak takut kepada undang-undang.

    Beliau mengingatkan warga kota agar mematuhi undang-undang sedia ada, walau dalam apa keadaan sekalipun.

    “Kalau letak kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya kita akan saman, kalau semua orang letak kenderaan tidak tentu arah, apa akan jadi pada ibu kota ini?. Saya minta sangat warga kota, sama ada dia suka atau tidak, dia kena hormat undang-undang ,” kata beliau.

    Mhd Amin berkata beliau memandang serius kesalahan trafik yang menjadi antara faktor punca kesesakan di ibu kota.

    Sejak Januari sehingga Ogos 2017, sebanyak 931,747 notis kesalahan trafik dikeluarkan DBKL dengan jumlah keseluruhan kompaun bernilai lebih RM5 juta.

    Sepanjang tempoh itu juga, pihak DBKL telah mengapit sebanyak 41,624 kenderaan dan menunda 5,652 kenderaan yang didapati melanggar undang-undang trafik. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " DBKL Bakal Bina Kompleks Penguatkuasaan "