• Datuk Seri Vida gegarkan Jakarta

    Published: Saturday, 9 September 2017
    A- A+

    JAKARTA - Gelagat jutawan kosmetik terkemuka, Datuk Seri Vida mencuri perhatian warga Indonesia apabila beliau mempersembahkan lagu popularnya, I Am Me di Pusat Konvensyen Jakarta sempena Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2017 hari ini.

    Beliau atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman menyanyikan lagu tersebut sempena pelancaran buku I AM ME: Rahsia Niaga DS Vida dengan harapan dapat menembusi pasaran baharu di Indonesia.


    “Buku ini adalah untuk berkongsi pengalaman bagaimana untuk menjadi seorang usahawan berjaya, malah saya sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi lebih berjaya dengan menembusi pasaran di seluruh dunia bermula dengan negara-negara ASEAN seperti Brunei, Singapura dan kini di Jakarta, Indonesia.


    “Saya mengambil kesempatan untuk menceriakan lagi pelancaran buku ini, inilah platform terbaik untuk melebarkan sayap di peringkat antarabangsa dan saya yakin fenomena di Malaysia bakal berlaku juga di Indonesia,” katanya di sini hari ini.


    Yang turut hadir, Timbalan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zamshari Shahadan, Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Budiman Mohd. Zohdi dan Pengarah Urusan ITBM, Khair Ngadiron.


    Buku tulisan Zinitulniza Abdul Kadir setebal 157 halaman itu menghimpunkan sebanyak 15 buah bab mengandungi pengalaman bagaimana Datuk Seri Vida membangunkan empayar perniagaannya menerusi strategi pemasaran dengan cara yang tersendiri.


    Buku yang dijual pada harga RM68 senaskhah itu bakal berada di pasaran dalam masa dua minggu lagi dan kepada sesiapa yang berminat boleh membelinya melalui www.itbm.com.my. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Datuk Seri Vida gegarkan Jakarta "