• Datuk Seri Vida Belanja RM1 Juta Buat Muzik Video

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    Pembikinan muzik video lagu I Am Me nyanyian Datuk Seri Vida mencecah RM1 juta membabitkan kos pembikinan, kostum dan barang kemas.

    Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berkata, kos pembikinan mencecah RM180,000, pakaian dan prop RM80,000, prop tambahan RM30,000, cincin berlian RM300,000 dan beberapa barangan kemas lain bernilai ratusan ribu.

    "Kos keseluruhan hampir sejuta. Saya membeli khas barang kemas untuk dipakai ketika penggambaran. Bukan apa, ini konsep yang ingin ditonjolkan sesuai dengan lirik lagu.

    "Muzik video ini sangat mewah dan luar biasa. Ini muzik video pertama seumpamanya di negara kita yang digarap sebegitu. Diakui proses pembikinan sangat susah ditambah dengan jadual kerja saya yang padat," katanya kepada Harian Metro.

    Menurut Vida, prop dan kostum yang digunakan dibeli khas di Thailand, Jepun dan Indonesia.

    Sementara itu, duit yang ditabur atas tab mandi adalah duit sebenar dari pelbagai negara.

    Vida turut menepis tanggapan segelintir pihak mengatakan dia riak dan sengaja menunjuk-nunjuk kemewahan menerusi muzik video itu.

    "Saya bukan riak tetapi mahu ekspresikan lirik 'living lavida' yang berkaitan dengan duit. Ini kerana bila bercakap fasal duit, ia memang menarik minat orang.

    "Semua elemen kemewahan yang didambakan ramai orang ada dalam muzik video ini. Apa saya boleh katakan, ia memang menarik dan tidak sabar menunggu hasilnya," katanya.

    Dalam masa sama, Vida juga menafikan terdapat satu babak dalam muzik video itu meniru muzik video Look What You Made Me Do nyanyian Taylor Swift.

    "Memang tidak sangka idea baring dalam tab mandi sama dengan muzik video Taylor Swift. Bezanya dia menggunakan berlian manakala saya pula duit.

    "Namun saya tetap meneruskan idea ini kerana mahukan kelainan iaitu menembusi pasaran antarabangsa. Lagi pun idea untuk menghasilkan muzik video ini dibuat sejak dua bulan lalu.

    "Sedangkan muzik video Taylor Swift baru dilancarkan tiga minggu lalu. Jadi tidak timbul isu saya meniru. Nanti saya akan Tweet dia apabila muzik video ini siap," katanya.

    Muzik video arahan Ghaz Abu Bakar itu bakal dilancarkan hujung bulan ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Datuk Seri Vida Belanja RM1 Juta Buat Muzik Video "