• Datuk & Bapa Saudara Ditahan Rogol Kanak-Kanak 7 Tahun Di Sibu

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    Datuk dan bapa saudara kepada kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditahan polis di Sungai Durin, Sibu petang ini kerana disyaki merogol kanak-kanak itu.

    Dua sekeluarga berusia 53 dan 25 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian yang dibuat ibu mangsa berusia 27 tahun.

    Suspek berusia 53 tahun baru dibebaskan tahun lalu atas kesalahan merogol anaknya pada 2008 kembali melakukan kesalahan sama.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, serbuan pertama menahan bapa saudara mangsa di sebuah kilang kayu di Sungai Durin, kira-kira 1 tengahari.

    Menurutnya, sejam kemudian, polis menahan datuk mangsa di sebuah rumah panjang kawasan sama dan tangkapan dilakukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

    "Mangsa tinggal bersama nenek dan kedua-dua suspek di rumah panjang berkenaan manakala ibu bapanya sudah berpisah sejak tujuh tahun lalu.

    "Kejadian hanya diketahui ibu mangsa selepas anaknya itu menceritakan kejadian pada 2 September lalu ketika tinggal di Mukah bersamanya pada cuti sekolah baru-baru ini," katanya di Kuching, hari ini.

    Dev berkata, berdasarkan keterangan yang diberikan, mangsa mendakwa dirogol di rumah panjang berkenaan oleh bapa saudara dan datuknya yang dibebaskan dari penjara Ogos tahun lalu.

    Katanya, mangsa bagaimanapun tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa sebelum mendedahkan kepada ibunya.

    "Datuk mangsa sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan pada 2008 dan kini kembali mengulangi kesalahan sama.

    "Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Sibu esok bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dijalankan terhadap mereka," katanya.-myMetro
  • No Comment to " Datuk & Bapa Saudara Ditahan Rogol Kanak-Kanak 7 Tahun Di Sibu "