• Datuk, Ayah Saudara Didakwa Lakukan Kelucahan Melampau

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    SIBU: Seorang datuk berusia 53 tahun dan anaknya berusia 25 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Sibu hari ini, atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak yang berusia tujuh tahun.

    Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan dalam kejadian berasingan di sebuah rumah panjang di Sungai Durin, di sini, antara Mei hingga Ogos lalu.

    Berdasarkan fakta pertuduhan, datuk mangsa didakwa atas empat pertuduhan menyentuh kemaluan mangsa dengan tujuan seksual pada Mei, Jun, Julai dan Ogos tahun ini di sebuah bilik di rumah panjang panjang terbabit.

    Bagi pertuduhan terhadap ayah saudara mangsa pula, tertuduh turut didakwa atas empat pertuduhan menyentuh kemaluan mangsa dengan tujuan seksual pada Mei, Jun, Julai dan Ogos tahun ini di tempat sama.

    Bagi kesalahan berkenaan, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 14 dan 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Ayah saudara mangsa juga turut dituduh atas kesalahan menunjukkan video lucah kepada anak saudaranya.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(e) dan 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

    Kesalahan mengikut Seksyen 16 akta sama memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sekurang-kurangnya dua kali sebatan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Zulfadhli Tuah, di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Rommie Ahmad Zaidi.

    Mahkamah menetapkan kes akan disebut semula esok.-Berita Harian

  • No Comment to " Datuk, Ayah Saudara Didakwa Lakukan Kelucahan Melampau "