• Datang Dari Rusia Untuk Melacur

    Published: Monday, 18 September 2017
    A- A+

    Kegiatan tiga wanita warga Russia berusia 18, 22 dan 28 tahun yang melacur terbongkar apabila polis menyerbu tiga bilik berasingan di hotel di Plaza Wawasan, Kota Kinabalu, kira-kira 5 petang semalam.

    Ketika serbuan, dua wanita masing-masing bersama pasangan, manakala seorang lagi tidak mempunyai pelanggan.

    Hasil serbuan sepasukan polis dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah diketuai Inspektor Hasryman Osman turut menemui beberapa kondom termasuk yang sudah digunakan, satu tiub KY, botol cecair pelincir, tiga telefon bimbit, tiket penerbangan dan wang tunai RM2,240.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat, polis dari D7 IPK Sabah menyerbu tiga bilik di sebuah hotel di Wawasan Plaza.

    "Hasil serbuan itu, kita menahan tiga wanita warga Russia kerana disyaki menjalankan aktiviti pelacuran dan polis turut menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki pelanggan.

    "Siasatan mendapati ketiga-tiga wanita asing ini mencari pelanggan dengan menggunakan aplikasi WeChat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Salehhudin berkata, pemeriksaan lanjut terhadap pasport ketiga-ketiga suspek mendapati mereka baru beberapa hari masuk ke Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial.

    "Modus operandi ketiga-tiga suspek ini adalah mencari pelanggan dengan menggunakan aplikasi WeChat.

    "Tangkapan warga negara berkenaan disyaki terbabit dengan aktiviti pelacuran adalah pertama kali di Sabah sepanjang tahun ini," katanya.

    Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas dalang kegiatan ini.

    "Suspek berusia 18, 22 dan 28 tahun bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

    "Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi tujuan persundalan," katanya.

    Operasi turut dibantu sepasukan polis dari D7 IPD Kota Kinabalu.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Datang Dari Rusia Untuk Melacur "