• DAP, PKR, MCA Kecam Keputusan Larang Festival Arak

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    PETALING JAYA: DAP, MCA dan PKR hari ini mengecam keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarang penganjuran Festival “Better Beer” 2017 yang dijadualkan 6-7 Oktober depan.

    Lima ahli Parlimen dari DAP dan PKR dalam kenyataan bersama menyeru keputusan pihak berkuasa tempatan itu dikaji semula.

    Tan Kok Wai, Teresa Kok, Fong Kui Lun, Lim Lip Eng dan Tan Kee Kwong terkejut dengan pembatalan itu kerana DBKL tidak memberikan sebarang alasan untuk menolak permohonan permit daripada penganjur, MyBeer Malaysia.

    “Selama ini, aktiviti seperi itu dijalankan tanpa mengganggu mana-mana orang atau menyebabkanb sebarang masalah.

    “Jelas sekali sasaran festival itu bukan orang Melayu tetapi pengunjung dan peniaga bukan Melayu, serta pelancong asing.

    “Kami kesali kejadian itu kerana pihak berkuasa tempatan seperti DBKL cuba melencong dengan bertindak seperti jaguh agama.

    “Tindakan mereka tidak bertimbang rasa dan nampaknya tunduk kepada permainan politik dan mengabaikan semangat muhibah,” kata mereka.

    Laporan Sinar Harian hari ini memetik Pengarah Komunikasi Korporat DBKL Khalid Zakaria sebagai berkata PBT menolak permohonan permit menganjurkan acara itu di Galeri Beli-Belah Publika.

    “Sekiranya penganjur meneruskan aktiviti tersebut, DBKL berhak mengambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya, dan menambah DBKL menerima permohonan permit daripada penganjur pada 28 Ogos.

    Lima ahli Parlimen itu berkata pembatalan acara itu akan menjejaskan industri pelancongan negara kerana ramai orang asing akan takut ke sini kerana tindakan kerajaan yang menyekat itu.

    Kenyataan itu berkata DBKL harus sedar PBT berkhidmat untuk semua rakyat, tanpa mengira warna kulit atau anutan. PBT juga bertanggungjawab menguja pertumbuhan pelancongan di Kuala Lumpur.

    “Kami cadangkan menteri Wilayah Persekutuan arah DBKL tarik balik penolakan permit itu.

    “Kami juga mahu menteri pelancongan dan budaya selesaikan isu itu,” kata mereka.

    Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Riduan Mohd Nor baru-baru ini menyifatkan festival arak itu sebagai “festival maksiat” dan acara seperti itu boleh menyebabkan Kuala Lumpur menjadi pusat maksiat di Asia.

    Beliau bertanya apakah jaminan keselamatan dapat diberikan kepada orang awam yang tidak terlibat seperti berlaku “jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain”.

    Aktivis Azhar Harun menggesa PAS menunjukkan statistik dan bukti menyokong hujah mengatakan festival arak tahunan itu akan meningkatkan kadar jenayah.

    “Adakah PAS menjalankan kajian atau tinjauan berkenaan festival arak setiap Oktober yang menunjukkan kadar jenayah meningkat? Adakah kadar jenayah di Jerman meningkat setiap Oktober?”

    Menurut beliau, Kelantan tidak meraikan festival arak, tetapi negeri itu mempunyai kes ketagihan dadah dan AIDS yang tinggi.

    Festival arak kali ini merupakan acara ketiga di adakan d Kuala Lumpur. Ia dianjurkan di Bukit Bintang pada 2012 dan Publika pada 2016.

    Sementara itu, ahli jawatankuasa pusat MCA Ti Lian Ker menyeru DBKL supaya bersikap konsisten dan bertanggungjawab dalam keputusan birokrasi mereka apabila menolak permohonan festival itu.

    Ti berkata DBKL tidak boleh menolak sewenang-wenangnya permohonan permit itu dan mengancam akan mengambil tindakan terhadap penganjur tanpa memberikan sebab dan asas penolakan itu.

    “Lebih-lebih lagi apabila mereka sebelum ini meluluskan acara itu tetapi sekarang bertindak sebaliknya.

    “Alasan mesti diberikan dan masa serta notis secukupnya perlu diberikan kepada orang ramai mengenai perubahan pada peraturan atau dasar awam.

    “Atas nama ketelusan dan kebertanggungjawaban, DBKL mesti berikan sebab dan masa kepada penganjur dan dilihat mesra perniagaan dan mesra pelancong.

    “Kita tidak boleh nafikan pelancong dari seluruh dunia dan industri berkaitan lain mungkin sudah bersedia dan mengeluarkan perbelanjaan untuk acara tahunan itu,” katanya dalam kenyataan.

    Pihak berkuasa mesti sensitif kepada orang ramai dan keperluan perniagaan, tambahnya.

    Beliau berkata DBKL mesti tidak boleh dilihat membuat keputusan sesuka hati atau tunduk kepada tekanan daripada parti politik atau golongan yang mempunyai pandangan ekstrem.

    Ti berkata tindakan itu akan mengalakkan tekanan yang lebih ekstrem dan radikal jika DBKL dilihat lemah menegakkan undang-undang atau dasar awam mereka.

    “Jika pembatalan itu disebabkan oleh tuntutan PAS, atau DBKL tunduk kepada pandangan ekstrem mereka, tanpa pedulikan hak orang lain, maka tindakan itu bukan berita baik kepada dasar pluralistik dan kesederhanaan Barisan Nasional yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak laksanakan dan jaminannya kepada rakyat minggu lepas.”-FMT

    Subjects:

  • No Comment to " DAP, PKR, MCA Kecam Keputusan Larang Festival Arak "