• Dana RM20 Juta Maju Industri Seni Budaya

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam akan menerajui pembangunan ekonomi industri seni budaya Malaysia sebagai aset baharu negara.

    Perdana Menteri berkata, menerusi pertemuannya dengan penggiat seni sebelum ini, mereka menyuarakan bahawa seni budaya memerlukan suntikan baharu sebagai dorongan untuk berkembang menjadi komponen penting dalam negara.

    “Saya terima pandangan ini dengan hati terbuka serta melihat seni budaya sebagai satu komponen berpotensi yang belum lagi kita bangunkan ke tahap optimum.

    “Hari ini (semalam), saya isytiharkan ekonomi seni budaya sebagai aset baharu negara. Kerajaan turut luluskan peruntukan awal RM20 juta kepada CENDANA bagi menggerakkan pembangunan seni budaya negara,” katanya berucap pada majlis pelancaran CENDANA, di sini semalam.

    Yang hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa serta Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin.


    Sumber pasaran baharu

    Najib berkata, sebagai negara yang kaya dengan budaya, Malaysia perlu membangunkan lebih ramai bakat dan memasarkannya sebagai sumber baharu bagi aspirasi jati diri yang dipandang tinggi serta sebagai punca kekuatan dan kebanggaan rakyat.

    “Saya percaya CENDANA yang lahir dari lubuk hati orang seni, akan dipupuk, dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya, sekali gus membawa keberhasilan yang berimpak besar kepada seni budaya negara,” katanya.

    Sementara itu, Izan Satrina berkata, buat permulaan, tumpuan CENDANA adalah di Lembah Klang dengan keutamaan kepada seni persembahan, seni visual dan muzik ‘indie’ dalam ruang sederhana serta lokasi awam.

    “Walaupun seni budaya diiktiraf aset penting negara, ia belum dimanfaatkan sepenuhnya. Salah satu langkah penting akan diambil CENDANA ialah menilai di mana kedudukan industri seni negara bagi merangka hala tuju masa depan.

    “Usaha ini sedang dilaksanakan menerusi Kajian Kebudayaan dan Kreatif Kuala Lumpur dengan hasil kajian akan diumumkan pada November ini,” katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Dana RM20 Juta Maju Industri Seni Budaya "