• Dalang, lanun rompak kapal direman

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+


    KUALA TERENGGANU: Seramai 11 lanun termasuk dalang berusia 59 tahun yang cuba merompak kapal tangki MT MGT1 di perairan Terengganu di sini, direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 September depan.

    Suspek berusia 38 hingga 59 tahun terbabit dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu dengan kawalan ketat pasukan bersenjata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira jam 11 pagi.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Abdul Latiff bagi membolehkan kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan secara berkumpulan.

    Semalam, APMM menahan 10 daripada 13 lanun warga Indonesia yang dipercayai cuba merompak diesel yang dibawa sebuah kapal tangki kira-kira 37 batu nautika timur laut Pulau Tenggol, Dungun pada jam 2.05 pagi.

    Bagaimanapun, tiga daripada mereka meloloskan diri selepas Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM yang diterbangkan menggunakan Agusta Westland 139 (AW139) melepaskan beberapa das tembakan dari udara selepas mengesan kedudukan kapal terbabit.

    Terdahulu, MT MGT1 yang dalam perjalanan dari Thailand ke selatan tanah air dilaporkan dinaiki beberapa individu menggunakan bot pancung kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Yu Besar di sini, sebelum APMM menggerakkan aset untuk meninjau keadaan di lokasi.

    APMM juga cuba mengesan kedudukan kapal yang membawa muatan 2.2 juta liter minyak diesel terbabit menggunakan Sistem Identifikasi Automatik (AIS) namun ia hilang daripada radar pada jam 9.15 malam kelmarin.

    Bagaimanapun, tindakan pantas APMM bukan saja menggagalkan cubaan rompakan malah menahan 10 daripada 13 lanun di lokasi, selain seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai dalang utama kes di sebuah hotel di Johor Bharu, Johor, tengah hari semalam.-BH

    Subjects:

  • No Comment to " Dalang, lanun rompak kapal direman "