• Dakwaan Sewa Mara Digital Mall Akan Dinaikkan Tak Benar

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Dakwaan sesetengah pihak bahawa kadar sewa premis perniagaan di Mara Digital Mall di Menara Mara di sini akan dinaikkan adalah tidak benar, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata kadar sewa pusat barangan teknologi maklumat (IT) usahawan Bumiputera itu akan dikekalkan dan kementerian akan sentiasa mencari jalan bagi memastikan nasib usahawan Bumiputera sentiasa terbela.

    “Dakwaan kadar sewa akan naik lima peratus itu tak betul. Sewa akan dikekalkan. Malah, bila dikatakan jualan teruk, saya pergi sendiri bertanya pada peniaga dua hari lepas, kebanyakannya cakap tak ada masalah dari segi jualan dan tak timbul isu peratus jualan menurun… mungkin ada satu dua kedai yang kurang pelanggan, itu kerana kekurangan produk dan saya bagi tahu mereka supaya lebih kreatif.

    “Bagi memastikan perniagaan usahawan meningkat, kita akan laksanakan promosi dan kita juga akan menutup Jalan Mara setiap hari Sabtu dan Ahad iaitu antara bangunan Pertama Kompleks dan Bangunan Mara, untuk memberi peluang kepada usahawan berniaga… hal ini kita dah bincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan pada dasarnya beliau bersetuju,” katanya.

    Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara 25 anak syarikat milik tujuh agensi di bawah kementerian beliau, di sini hari ini.

    Ismail Sabri berkata pengguna juga perlu menyokong barangan yang dijual di Mara Digital yang dijamin ketulenannya.

    “Saya nak tekankan pada pengguna, kita jamin dari segi ketulenannya. Kalau nak beli murah tepi jalan pun boleh tapi ketulenannya tak dijamin.. .kita memang adakan kerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk pastikan barangan kita berkualiti dan asli,” katanya.

    Beliau berkata dua lagi bangunan Mara Digital akan dibuka bulan depan iaitu di Medan Jaya, Ipoh pada 12 Okt dan Jalan Gambut, Kuantan, Pahang pada 28 Okt.

    Dalam pada itu Ismail Sabri berkata MoU yang melibatkan tiga kluster iaitu pendidikan, hartanah dan pelaburan itu merupakan kesinambungan kejayaan MoU fasa pertama yang dimeterai 14 April lalu.

    “Kita laksanakan MoU ini secara pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang mana dengan cara ini boleh berkongsi sumber, menjimatkan kos dan mengelakkan persaingan.

    “Saya yakin kita akan dapat menjana lebih pendapatan selepas ini dengan meminimumkan sumber menerusi MoU ini dan Insya-Allah kita juga akan melihat dua lagi kluster iaitu peruncitan dan perladangan,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Dakwaan Sewa Mara Digital Mall Akan Dinaikkan Tak Benar "