• Dagangan Malaysia, China Dijangka Cecah AS$160b

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    NANNING (CHINA): Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China dijangka meningkat kepada AS$160 bilion (RM671.7 bilion) menjelang 2020, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

    Pada 2016, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara adalah AS$87 bilion (RM365 bilion) dan ia diyakini akan berkembang sehingga AS$100 bilion (RM420 bilion) tahun ini, dipacu aliran positif ekonomi global.

    Ka Chuan berkata, sektor komponen automotif berkembang lebih pesat berbanding sektor automatif.

    Justeru, katanya, syarikat Malaysia perlu memanfaatkan peluang berkenaan untuk menembusi pasaran China yang semakin berkembang kuasa beli, sekali gus berpotensi dalam meningkatkan jumlah eksport Malaysia ke negara itu.

    "Pasaran automotif Malaysia lebih kecil berbanding China. Tahun lalu, Malaysia hanya mencatatkan jualan sebanyak 580,000 unit kenderaan berbanding 28 juta unit di China.

    "Seperti yang kita lihat, terdapat potensi besar di wilayah lain di China, seperti bandar peringkat kedua dan ketiga iaitu Nanning, Kunming, Chengdu, Zhuhai, Nanjing dan Tienjing," katanya selepas merasmikan Pavilion Malaysia dan Labuan sebagai Bandar Tarikan di Ekspo China ASEAN (CAEXPO) Ke-14, di sini, hari ini.

    Labuan dipilih sebagai Bandar Tarikan Malaysia bagi CAEXPO 2017 berikutan tarikan pelancongannya sebagai lokasi strategik di sebelah Brunei, yang dipilih sebagai negara kehormat tahun ini.

    Ka Chuan berkata, dalam memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara, pegawai kerajaan dari Guangxi dijangka melawat Malaysia pada Oktober ini untuk membincangkan secara terperinci mengenai program pertukaran pelajar jurusan kejuruteraan awam dan kejuruteraan mekanikal.

    Terdahulu, beliau melawat pusat logistik e-dagang ASEAN, Post China, yang bertindak sebagai platform bagi syarikat Malaysia untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka ke negara itu terutamanya di kawasan luar bandar.

    CAEXPO yang bermula semalam, disertai 171 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan untuk pasaran China.

    Ia dianjurkan bersama oleh China dan 10 negara ASEAN, bermatlamat untuk mempromosikan kerjasama antara China dan ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Dagangan Malaysia, China Dijangka Cecah AS$160b "