• Cubaan Seludup 180kg Ketum Ke Negara Jiran Gagal

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    Jeli - Polis menggagalkan percubaan seorang lelaki menyeludup masuk 180 kilogram (kg) bekalan daun ketum bernilai RM3,000 ke negara jiran selepas menahannya di Kampung Chedok, di sini, petang tadi.

    Suspek berusia 33 tahun yang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Tanah Merah ditahan anggota narkotik IPD Jeli di kampung berkenaan, jam 3 petang.

    Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusuff Jaafar, berkata suspek yang berasal dari Jedok, Tanah Merah mendapat bekalan daun berkenaan dari Sik, Kedah.

    Katanya, hasil maklumat orang awam, pihaknya mengesan kereta PROTON Wira dari arah Gerik menghala ke Jeli sebelum menahannya.

    "Hasil pemeriksaan, kami menemui 18 plastik berwarna hitam daun ketum dengan anggaran seberat 180 kg bernilai RM3,000 yang akan dipasarkan ke negara jiran.

    "Kes ini akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum empat tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    Keterangan gambar:

    Polis memeriksa 180 kg daun ketum bernilai RM3,000 yang dirampas di Kampung Chedok, di sini, petang tadi. -BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Cubaan Seludup 180kg Ketum Ke Negara Jiran Gagal "