• Chunrong Dilantik CEO Baharu Proton

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    SHAH ALAM – DRB-Hicom mengesahkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Proton, Dr. Li Chunrong iaitu pegawai dipilih rakan strategik kereta nasional itu, Zhejiang Geely.

    Bercakap dalam sidang akhbar di sini, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar turut mengumumkan Datuk Radzaif Mohamed kekal sebagai Timbalan CEO Proton.

    Chunrong, 53, yang sudah tiba dari China, dijadual memulakan tugas secara rasmi 2 Oktober dilaporkan meletak jawatan ahli lembaga pengarah dan naib presiden eksekutif Dongfeng-Honda Engine Co. Ltd. pada 21 Ogos lalu.

    Beliau memulakan kerjayanya pada 1987 di Dongfeng Motor Corporation (DMC) dan 10 tahun kemudian, dilantik sebagai timbalan pengarah sebelum menjadi naib presiden eksekutif di Dongfeng Yueda Kia Motors pada 2002.

    Dalam tahun 2007, Chunrong menjawat pangkat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Dongfeng Passenger Vehicle Company, dan terbaharu, beliau menjadi Naib Presiden Eksekutif di Dongfeng Honda Engine Company.

    Graduan sarjana muda Huazhong University of Science and Technology dalam bidang Automasi Elektrik ini juga memegang ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam Kejuruteraan Perindustrian dan Pemasaran di universiti sama.

    Chunrong turut memperoleh ijazah sarjana dalam pentadbiran perniagaan daripada universiti tersohor di dunia, Massachussetts Institute of Technology, Cambridge, Amerika Syarikat.

    Subjects:

  • No Comment to " Chunrong Dilantik CEO Baharu Proton "