• Chong dan Julian Tan bebas tuduhan sertai BERSIH 4.0

    Published: Thursday, 14 September 2017
    A- A+
    KUCHING: Mahkamah Sesyen Kuching memutuskan dua Ahli Parlimen dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen dan Julian Tan Kok Ping tidak bersalah atas tuduhan terbabit dalam perhimpunan BERSIH 4.0 dua tahun lalu.

    Dalam penghakiman hari ini Hakim Steve Ritikos berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan terlibat dalam demonstrasi haram.

    “Berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh hanya berkumpul di hadapan Kuching Hilton, di mana mereka meletakkan kenderaan dan kemudian berjalan ke Padang Song Kheng Hai, iaitu lokasi yang diluluskan untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4.0,” katanya.

    Chieng Jen yang juga pengerusi DAP Sarawak dan Tan dituduh di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012) kerana menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 pada 29 Ogos 2015.

    Kedua-dua tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000 dan dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun sekiranya didenda melebihi RM2,000, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, pihak pendakwaraya diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan.
  • No Comment to " Chong dan Julian Tan bebas tuduhan sertai BERSIH 4.0 "