• Ceroboh Rumah Hanya Untuk Dapatkan Daun Pokok Semambu

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    Dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun ditahan polis selepas menceroboh sebuah rumah kerana ingin mendapatkan daun pokok semambu di Taman Desa Penaga, Kulim, semalam.

    Dalam kejadian 4.50 petang itu, mereka difahamkan ingin mengambil daun semambu untuk digunakan bagi merawat anak salah seorang daripada mereka yang mengalami demam campak.

    Bagaimanapun tindakan mereka memanjat pagar dan memotong dahan di dalam kawasan rumah dengan parang tanpa kebenaran itu dianggap menceroboh selepas tidak mendapat kebenaran tuan rumah.

    Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kebetulan ketika kejadian anggotanya dari Balai Polis Kulim sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit kerana sebelum ini ada kes pecah rumah.

    Menurutnya, ketika kejadian itu, anggotanya melihat suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan rumah itu sebelum bertindak menahan mereka untuk soal siasat.

    “Siasatan awal mendapati mereka mendakwa sudah memanggil tuan rumah untuk meminta kebenaran namun tidak bersahut dan menyangka tiada orang di dalam rumah.

    “Salah seorang suspek kemudian memanjat pagar dan cuba memotong dahan pokok semambu itu. Kebetulan anggota polis yang berada di situ terlihat kejadian itu sebelum menahan mereka.

    “Kita merampas parang yang digunakan untuk memotong dahan itu dan suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ceroboh Rumah Hanya Untuk Dapatkan Daun Pokok Semambu "