• Cavani, Neymar temui sasaran benam Bayern

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    PARIS: Edinson Cavani dan Neymar masing-masing menjaringkan gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) mencipta kemenangan 3-0, mengatasi Bayern Munich dalam pertembungan 'heavyweight' Liga Juara-Juara di ibu kota Perancis, awal pagi tadi.

    PSG bermula baik apabila seorang lagi pemain Brazil yang baharu ditandatangani musim panas lalu, Dani Alves memberikan kelebihan gol dalam tempoh 90 saat di Parc des Princes dan selepas itu, mereka tidak lagi memandang ke belakang.

    Sepakan Cavani sejurus selepas setengah jam perlawanan menjadikan kedudukan 2-0, sebelum Neymar melengkapkan jaringan pada babak kedua (minit ke-63).

    Perlawanan itu menyaksikan Bayern mengalami kekalahan terbesar sejak tewas kepada Barcelona dengan jumlah sama pada separuh akhir kejohanan ini pada Mei 2015.

    Keputusan itu memberikan kelab Perancis itu kedudukan teratas Kumpulan B, dengan mata maksimum enam daripada dua perlawanan, lapan jaringan dan tiada bolos.

    Mereka berada di landasan tepat untuk menang kumpulan berkenaan - Bayern pula meraih tiga mata, sama dengan Celtic yang menang di Anderlecht.

    Bagi PSG, ini adalah peluang untuk mengukur kekuatan mereka berdepan kuasa tradisi benua itu dalam perlawanan peringkat Eropah terbesar sejak kekalahan memalukan di tangan Barcelona, musim lalu.

    Perlawanan itu adalah satu kejayaan buat skuad bimbingan Unai Emery walaupun kelab Jerman itu seakan-akan kurang berkualiti berbanding tahap biasa mereka.

    "Perkara utama ialah tiga mata, tapi adalah juga penting buat saya melihat penyokong gembira dan menang berdepan pasukan tahap terbaik," kata Emery. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Cavani, Neymar temui sasaran benam Bayern "