• Britain Hantar RM66.1j Bantu Mangsa Taufan Irma

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+


    LONDON : Kerajaan Britain hari ini mengumumkan pemberian sumbangan berjumlah 12 juta pound (RM66.1 juta) dan menghantar kapal tentera bagi membantu mangsa Taufan Irma di Caribbean.

    Menteri Luar Kedua, Alan Duncan berkata, kerajaan akan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan bantuan kecemasan dapat disampaikan pada kadar segera.

    Taufan Irma, antara taufan Atlantik paling kuat pernah direkodkan setakat ini telah melanda Caribbean dan meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa, selain mengakibatkan kemusnahan besar di beberapa pulau tropika seperti Barbuda dan St. Martin.

    Menurut Duncan, bot bantuan RFA Mounts Bay milik tentera British sudah berada di Caribbean dan dijangka tiba di wilayah yang terjejas hari ini.

    Katanya, Jabatan Pembangunan Antarabangsa (DFID) dan Pejabat Luar Negara turut diletakkan dalam keadaan siap siaga dan mengambil pelbagai langkah yang perlu untuk menggerakkan bantuan.

    Ia turut membabitkan persediaan beberapa penerbangan khas bagi menghantar bantuan berupa keperluan tambahan untuk mangsa.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Menteri Luar, Boris Johnson mengesahkan komitmen kerajaan United Kingdom dalam membantu menangani kemusnahan akibat Taufan Irma.- BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Britain Hantar RM66.1j Bantu Mangsa Taufan Irma "