• Bon Korporat Separuh Kedua 2017 Dijangka Kekal Kukuh

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan terbitan bon korporat akan kekal kukuh pada separuh kedua 2017 selepas melonjak 41.7 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM54.8 bilion pada separuh pertama, dipacu oleh terbitan sektor infrastruktur dan perkhidmatan kewangan.

    Malah, agensi penarafan itu optimis pasaran bon Malaysia boleh melepasi purata terbitan utama sebanyak RM80 bilion sejak empat tahun lalu.

    "Secara keseluruhannya, kami mengunjurkan terbitan kasar bagi tahun akan datang mencecah antara RM95 bilion dan RM105 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kajian terbaharu RAM Ratings mengenai penarafan ingkar dan peralihan penarafan menunjukkan tindakan penarafan negatif yang lebih perlahan.

    Pada enam bulan pertama tahun ini, hanya ada satu penurunan daripada 181 penarafan penerbit (berbanding empat penurunan pada separuh pertama 2016).

    Magnitud penurunan itu juga kurang serius iaitu pada purata takuk 1.2 (pada akhir Jun 2016 sebanyak 1.6).

    Peningkatan ini terutamanya seiring dengan kenaikan ekonomi domestik yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan kukuh mengatasi jangkaan iaitu 5.7 peratus pada separuh pertama 2017.

    Agensi penarafan itu baru-baru ini bertindak menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2017 daripada 5.2 peratus kepada 5.4 peratus yang adalah semakan menaik kedua bagi tahun ini.

    "Bagi prospek masa depan, kami tidak menjangkakan sebarang penyusutan utama dalam kualiti kredit portfolio yang mendapat penarafan kami.

    "Walaupun angka penarafan memberi unjuran negatif berbanding positif (pada kadar nisbah 3:1), kami menjangkakan keseluruhan tindakan penarafan akan meningkat secara beransur-ansur apabila ekonomi mendapat momentum," kata agensi itu.

    Setakat akhir Jun 2017, kira-kira 85 peratus terbitan sekuriti yang diberi penarafan oleh RAM adalah sekurang-kurangnya pada tahap AA dan menunjukkan kualiti tinggi kredit portfolio serta risiko berlakunya ingkar yang rendah membabitkan penarafan berkenaan. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bon Korporat Separuh Kedua 2017 Dijangka Kekal Kukuh "