• Bom Hidrogen Pyongyang 8 Kali Ganda Lebih Kuat

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    TOKYO: Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera berkata, ujian nuklear terbaru Korea Utara lebih berkuasa berbanding anggapan awal dengan kekuatan lapan kali ganda saiz bom diletupkan di Hiroshima.

    Ahad lalu, Korea Utara mencetuskan kebimbangan global apabila ia menguji apa yang digambarkan sebagai bom hidrogen untuk peluru berpandu jarak jauh.

    Terdahulu Kementerian Pertahanan Jepun berkata, bom itu memiliki kekuatan 70 kiloton, berdasarkan magnitud anggaran suruhanjaya persediaan Pertubuhan Perjanjian Komprehensif Larangan Ujian Nuklear (CTBTO).

    Namun Onodera memberitahu media hari ini, kementeriannya menaik taraf anggaran itu kepada sekitar 120 kiloton berdasarkan semakan oleh CTBTO.

    "Kita dapat tentukan bahawa ujian nuklear yang dijalankan mempunyai keupayaan agak tinggi," kata Onodera.

    Pada 120 kiloton, letupan itu adalah lapan kali ganda lebih berkuasa berbanding kekuatan 15 kiloton bom digugurkan Amerika Syarikat (AS) yang memusnahkan Hiroshima pada 1945.

    Anggaran itu juga melebihi kekuatan antara 50 dan 100 kiloton dibuat ketua hal ehwal politik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Jeffrey Feltman dalam Majlis Keselamatan PBB.

    Terdahulu, Perdana Menteri Shinzo Abe menggesa masyarakat antarabangsa membentuk pakatan menentang provokasi Pyongyang.

    "Sama ada kita dapat mengekang tindakan melampau Korea Utara atau bergantung kepada penyatuan di kalangan anggota masyarakat antarabangsa," kata Abe ketika bertemu Menteri Pertahanan India Arun Jaitley di ibu kota ini.

    Duta AS ke PBB Nikki Haley memaklumkan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB, Washington akan membentangkan resolusi sekatan baharu untuk dirunding beberapa hari lagi, dengan matlamat membuang undi Isnin depan. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Bom Hidrogen Pyongyang 8 Kali Ganda Lebih Kuat "