• BN Tak Perlu Terburu - buru Adakan PRU14, Kata Annuar

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+


    Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak perlu terburu-buru hendak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam tempoh terdekat walaupun parti pembangkang berada dalam keadaan ‘kucar-kacir’ ketika ini.

    Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata apa yang perlu diutamakan BN ketika ini ialah memastikan segala permasalahan dihadapi rakyat dapat terus ditangani dan diselesaikan sebaik mungkin.

    “Pada pandangan saya, tidak perlu buat PRU dengan segera walaupun pembangkang sekarang berada dalam keadaan kucar kacir.

    “Kita tidak perlu risau. Selagi hubungan yang mereka wujudkan berasaskan kepada ‘marriege of convinience’, tidak berasaskan ideologi yang mantap dan mereka wujud kerana ada musuh bersama, selama itu pembangkang tidak akan mampu menawarkan alternatif yang terbaik kepada rakyat.

    “Mereka akan tetap bergaduh seperti pada masa dahulu, masa sekarang dan akan lebih besar lagi pada masa akan datang. Kalau kita lambat buat PRU pun mereka tidak akan dapat selesaikan masalah mereka,” katanya dalam Program BICARA BH: PRU14: Antara Mimpi & Realiti di Balai Berita, Bangsar, hari ini.

    Annuar berkata, masa yang paling sesuai untuk mengadakan PRU ialah apabila kerajaan berasa yakin yang ia akan dapat memenangi lebih banyak kerusi yang ditandingi pada PRU akan datang.

    “Kalau kita baca buku seni peperangan Tsun Tzu, kita boleh ‘tangkap musuh ketika musuh tengah kucar kacir’. Akan tetapi cara kepimpinan Datuk Seri Najib Razak berbeza.

    “Perdana Menteri tidak main sembunyi atau gelabah atau mengambil kesempatan di sebalik keadaan kucar kacir pembangkang untuk membuat PRU.

    “Beliau sudah melalui tujuh atau lapan PRU di bawah kepimpinan Perdana Menteri berbeza. Apa yang Najib cuba lakukan ialah kepentingan rakyat dan pilihan raya dijaga seimbang.

    “Kerajaan juga masih ada mandat dan banyak perkara berkaitan rakyat yang perlu diuruskan kerana kepentingan rakyat lebih penting,” katanya.

    -Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " BN Tak Perlu Terburu - buru Adakan PRU14, Kata Annuar "