• BN Sibuk Majukan Negara, Parti Lain Sibuk Main Politik - Salleh

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+


    "Kita tidak kata kita yang terbaik tetapi kita saja alternatif yang tinggal. BN adalah sebuah parti yang terbukti kemampuannya untuk menyatupadukan rakyat dan membangunkan negara," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

    Dipetik dalam laporan portal berita, semalam, Salleh berkata Barisan Nasional (BN) mempunyai dasar yang jelas - selari dengan kehendak rakyat yang mahukan kestabilan politik demi masa depan negara dan rakyat yang cerah.

    “Parti-parti yang bersaing dengan BN hanya sibuk berpolitik dan bermatlamat politik semata-mata,” ujarnya menegaskan bahawa 'track record' BN menunjukkan dasar yang dilakukan demi masa hadapan negara.

    “Inilah yang kita mahu tawarkan kepada rakyat bahawa kita sebuah parti yang bertanggungjawab yang akan menentukan kestabilan, keharmonian dan memilih jalan sederhana untuk membangunkan negara. Kita memilih politik kesederhanaan,” katanya lagi.

    Menjelaskan dakwaan bekas Perdana Menteri dari UMNO yang kini menyertai pembangkang selaku Pengerusi Pakatan Harapan - Tun Dr Mahathir Mohamad - bahawa Perdana Menteri akan melakukan apa sahaja termasuk mengisytiharkan darurat untuk menang PRU14, Salleh berkata ianya sekadar andaian pemimpin berusia 92 tahun itu semata-mata.

    Tambahnya, berbanding Dr Mahathir yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negari (ISA) untuk memberkas musuhnya, akta berkenaan kini sudah dimansuhkan oleh Najib.

    Salleh yang merupakan bekas Speker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah juga menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa Sabah tidak lagi menjadi kubu kuat BN.

    "Biarlah Dr Mahathir dengan andaian dia. Ia tidak akan berlaku. Insya-Allah BN masih menang besar di Sabah kerana umumnya rakyat puas hati dengan pencapaian BN, kerana kita mengamalkan politik pembangunan. Itu hanya andaian Tun Mahathir," ujarnya.

    Ditanya mengenai penyertaai Dr Mahathir ke blok pembangkang akan menyebabkan BN kehilangan 2/3 majoriti selepas Anwar dipecat pada 1998, Salleh optimis bahawa aspek individu tidak memberi kesan kepada jumlah undi terhadap BN.

    "Kita mengamalkan sistem parti. Kita pentingkan parti, bukan individu, kerana parti yang berupaya bentuk kerajaan. Kalau lihat sejarah Umno dan BN sejak dahulu lagi, pelbagai pergolakan berlaku tetapi rakyat masih lagi bersama Umno.

    "Kita kena pastikan ada persaingan sihat. Kita tidak boleh terlalu emosional. Adalah hak masing-masing untuk mempertahankan dasarnya. Akhirnya rakyat akan membuat penilaian dan rekod BN terbuka untuk rakyat nilai," katanya lagi.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) yang berpangkalan di Pulau Pinang menggariskan 10 sebab mengapa rakyat perlu memilih BN pada PRU14 akan datang.

    Sebab-sebab berkenaan adalah:

    1. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan memastikan hasil pendapatan kerajaan dikongsi secara terus dengan rakyat tanpa melalui pihak tengah. Bantuan langsung ini memberi hak kepada rakyat untuk menentukan cara yang mereka mahu gunakan untuk membelanjakan wang diberi.

    2. Kadar cukai pendapatan individu dikurangkan sekali gus membantu rakyat menguruskan kewangan dan mena­ngani kesan kenaikan kos sara hidup.

    3. Di Lembah Klang, projek Transit Aliran Ringan (LRT) - 2 dan Transit Aliran Massa (MRT) membantu pergerakan dari satu tempat ke tempat lain dengan cepat dan kos yang murah.

    4. Di Sabah dan Sarawak, projek Lebuh Raya Pan Borneo tanpa tol membolehkan kedua-dua negeri itu itu dihubungkan melalui jalan darat, seterusnya mening­katkan ekonomi pendu­duk di sepanjang lebuh raya.

    5. Di peringkat nasional, program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diperkenalkan hasil usahasama kerajaan dan pemaju dalam membina rumah mampu milik untuk masyarakat M40. Ini termasuklah projek-projek KPKT untuk rakyat B40.

    6. Di Wilayah Persekutuan, projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) dibina untuk penduduk dalam usaha memastikan setiap keluarga di negara ini memiliki sekurang-kurangnya satu rumah.

    7. Pendidikan rendah dan menengah diberikan hampir percuma sekali gus meringankan beban kelu­ar­ga yang mempunyai anak ramai.

    8. PTPTN disediakan bagi anak-anak muda yang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Bagi yang cemerlang, pinjaman itu ditukar kepada biasiswa tanpa bayaran balik.

    9. Projek mega seperti projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor, MRT di Lembah Klang dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pantai Timur bakal mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

    10. Segala manifesto kerajaan BN semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) hampir siap dilaksanakan.

    “Kadang-kala kita (sebilangan orang) gemar dengan perlakuan provokatif sehinggakan fakta yang terbukti sengaja diabaikan.

    “Ada ketikanya orang luar (rakyat negara lain) pula mengagumi kita (Malaysia) sehinggakan PCM sendiri hairan tak bersyukurkah kita dengan kemakmuran dan kestabilan yang dikecapi kita hari ini,” kata Cheng Guan. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " BN Sibuk Majukan Negara, Parti Lain Sibuk Main Politik - Salleh "