• Bincang Salur Bantuan Untuk Rohingya

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+


    JAKARTA: Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi bertemu pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi semalam bagi membincangkan penghantaran bantuan kepada etnik Rohingya.

    Pertemuan itu diadakan ketika desakan semakin kuat di Indonesia yang mahu kerajaan membuat pendirian tegas terhadap isu Rohingya yang ditindas di Myanmar.

    Berpuluh-puluh aktivis berhimpun di luar kedutaan Myanmar di Jakarta semalam mendesak hubungan diplomatik dengan negara itu diputuskan susulan kekejaman terhadap penduduk Rohingya.

    Agensi bantuan menganggarkan kira-kira 90,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak keganasan tercetus di utara negeri Rakhine pada minggu lalu.

    “Kami akan berbincang mengenai cadangan bagaimana Indonesia boleh menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Rohingya di Rakhine,” kata Retno dalam satu kenyataan menerusi video dari Yangon.

    Dia juga dijadual ke Bangladesh bagi menggesa pihak berkuasa negara itu melindungi pelarian Rohingya yang mencari perlindungan di sana.

    Sementara itu, pemerhati undang-undang antarabangsa di Universiti Islam Indonesia, Jawahir Thontowi menggesa pihak berkuasa menghalang warga Indonesia yang mahu ke Myanmar untuk membantu kumpulan penentang Rohingya.

    Katanya, kehadiran pejuang asing termasuk Indonesia di Myanmar membahayakan lagi etnik Rohingya seperti yang berlaku di Syria. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Bincang Salur Bantuan Untuk Rohingya "