• Bincang langkah keselamatan di ESSZONE

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) di Ibu Pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu, hari ini.

    Lembaga Penasihat ESSZONE yang diselia oleh Majlis Keselamatan di Jabatan Perdana Menteri, diwujudkan semasa Mesyuarat Sidang Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Januari lalu bagi memantapkan lagi mekanisme sedia ada.

    Antara terma rujukan lembaga penasihat itu adalah menasihati Jawatankuasa ESSZONE, yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah mengenai langkah-langkah memantap dan mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam di ESSZONE.

    Lembaga penasihat itu juga berperanan untuk menasihati jawatankuasa berkenaan mengenai langkah meningkatkan kerjasama antara kementerian, jabatan dan agensi di peringkat persekutuan dan negeri dalam melaksanakan operasi dan tindakan-tindakan awam di ESSZONE.

    Lembaga itu juga boleh mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pemantauan, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, mengenai langkah-langkah tambahan dalam meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam di ESSZONE.

    Mesyuarat disertai anggota Lembaga Penasihat ESSZONE yang terdiri daripada Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali.

    Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri T Subromaniam, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifli Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bincang langkah keselamatan di ESSZONE "