• Bilangan Pakar Jantung Tak Cukup Di Hospital Kerajaan

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA – Bilangan pakar jantung di hospital kerajaan tidak mencukupi untuk menampung keperluan peningkatan penghidap penyakit serangan jantung yang kekal sebagai penyebab utama kematian rakyat di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam.

    Beliau berkata setakat ini jumlah pakar jantung atau kardiologis di seluruh negara adalah seramai 300 orang, namun hospital kerajaan hanya mempunyai 38 pakar jantung, 17 pakar bedah dan 19 pakar bius dan selebihnya di hospital swasta.

    Kementerian Kesihatan, katanya, memandang serius masalah itu dan sedang berusaha mengatasinya dengan menggalakkan doktor supaya melanjutkan pengajian mereka untuk menjadi pakar dalam bidang rawatan penyakit jantung dan seterusnya menampung kekurangan yang wujud.

    “Kami akan meneruskan memberi latihan kepada doktor-doktor baharu dalam proses menambah pakar jantung. Setiap tahun, 25 hingga 30 pakar jantung keluar daripada universiti.

    “Apa yang berlaku, mereka keluar, dapat pengalaman yang baik di hospital kerajaan, dan lepas itu, mereka pergi berkhidmat di hospital swasta. Tidak mengapa, mereka juga memberi rawatan kepada rakyat Malaysia juga,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Menurut Dr. Subramaniam, sehingga 2015, terdapat seramai 151,651 kedatangan pesakit luar bagi penyakit ‘ischaemic heart disease’ di fasiliti kementerian berbanding 139,460 untuk tahun 2013.

    “Statistik mendapati rakyat yang mati akibat penyakit jantung berumur antara 50 hingga 60 tahun dan ini merupakan kematian pramatang. Saya menyeru masyarakat hargai kesihatan jantung dan kardiovaskular mereka,” katanya.

    Dr. Subramaniam berkata pihaknya akan menubuhkan pusat rawatan jantung baharu dengan 262 katil di Hospital Serdang yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

    Kerajaan telah menyediakan tujuh buah Pusat Rawatan Jantung mengikut zon iaitu Hospital Pulau Pinang, Hospital Serdang, Hospital Sultan Aminah Johor Bahru, Hospital Umum Sarawak, Hospital Queen Elizabeth II Kota Kinabalu, Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bahru dan Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, katanya.

    Kesemua tujuh perkhidmatan rawatan jantung menyediakan perkhidmatan kardiologi, perkhidmatan pembedahan kardiotorasik serta perkhidmatan anestesiologi, katanya.

    Perkhidmatan kardiologi tanpa perkhidmatan pembedahan juga disediakan di tiga buah hospital iaitu Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, katanya.

    Dr. Subramaniam berkata pihaknya juga sedang meningkatkan kesedaran terhadap risiko-risiko yang menjadi punca penyakit serangan jantung antaranya obesiti, tabiat merokok, darah tinggi dan kolestrol.

    “Setakat ini, kerajaan membelanjakan sebanyak RM137 juta bagi rawatan penyakit jantung di 10 pusat jantung kementerian pada tahun lalu,” katanya, sambil menambah kata, Hari Jantung Sedunia 2017 akan disambut pada Jumaat ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bilangan Pakar Jantung Tak Cukup Di Hospital Kerajaan "