• Beri Saya Masa, Ruang - Misbun

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek meminta semua pihak supaya memberikan masa dan ruang kepadanya untuk menggilap kembali barisan pemain perseorangan negara, terutama Datuk Lee Chong Wei.

    Jelas Misbun, dengan kehadirannya yang masih baru di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tidak banyak dapat dilakukannya untuk menurunkan ilmu, terutamanya kepada Chong Wei pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, bulan lalu.

    Chong Wei tersingkir seawal pusingan pertama di tangan pemain Perancis, Brice Leverdez pada kejohanan berprestij itu.

    "Berilah saya sedikit masa untuk melakukan persiapan ke atas barisan pemain ini. Jika latihan kita kuat, pemain dari negara lain juga melakukan perkara sama.

    "Jika setiap pemain terbuka hendak belajar, saya yakin keputusan akan memihak kepada kita," katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan, hari ini.

    Mengulas lanjut prestasi Chong Wei di Kejohanan Dunia, Misbun berkata, apa yang berlaku kepada jaguh perseorangan negara itu sebenarnya bukan soal permainannya.

    "Dia cuma keliru sebab sudah lebih kurang enam tahun saya tak bersama dengannya dan sepanjang tempoh itu, ramai jurulatih bersilih ganti melatihnya.

    "Dalam tempoh lima minggu, saya hanya dapat beri sedikit bantuan daripada perspektif yang perlu dia berwaspada.

    "Chong Wei keliru terutamanya membabitkan tip-tip ketika beraksi. Bagaimanapun saya tak salahkan dia," katanya.

    Misbun berkata, beliau akan terus membantu Chong Wei pada kejohanan akan datang dengan menerapkan latihan yang bersesuaian dengan usia Chong Wei.

    "Sekarang ini, dia sering menjadi sasaran utama dan pemain lain sudah tidak takut dengannya.

    "Umurnya sudah meningkat dan ada perubahan membabitkan kepantasan dan serangan. Chong Wei sedar mengenai perkara ini dan kita akan perbaiki daripada semasa ke semasa," katanya.

    Misbun melapor diri sebagai ketua jurulatih awal Julai lalu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Beri Saya Masa, Ruang - Misbun "