• Bekalan RM1 Ke Sabah, Sarawak

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+


    Hanya bawa RM1. Mungkin bagi sesetengah orang itu mustahil namun pesakit barah darah (Hodgkin Lymphoma) tahap tiga, Zaki Mohd Yamani, 28, tetap meneruskan misinya menjelajah ke seluruh Sabah dan Sarawak dengan konsep mengembara dan tumpang.

    Lelaki berasal dari Kampung Bukit Rang 2, Pulau Tawar, Jerantut, itu memulakan misi jelajah sejak 29 Ogos lalu dan dijangka berakhir 20 September depan.

    Menerusi konsep mengembara dan tumpang, Zaki menahan kereta di tepi jalan dengan menulis destinasi mahu dituju pada kad kotak untuk menarik perhatian pengguna jalan raya sebelum ditumpangkan ke destinasi berkenaan.

    Pada tahun lalu, Zaki pernah melakukan misi menjelajah seluruh Semenanjung dengan berbekalkan RM13, kad pengenalan dan lesen memandu tanpa membawa kad juruwang automatik (ATM).

    Katanya, konsep misi kali ini sama seperti sebelumnya dengan hanya membawa RM1, beg pakaian, kad pengenalan dan lesen memandu tanpa membawa kad ATM.

    “Saya kini berada di Kota Marudu, Sabah. Di sini, misi berjalan lebih sukar kerana kawasan penempatan penduduk jauh antara satu sama lain,” katanya, di sini, semalam.

    Zaki yang menderita kanser itu sejak Julai 2014 berkata, tujuan utama dia melakukan misi berkenaan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai barah terutama penghidapnya supaya tidak berputus asa melawan penyakit.

    “Alhamdulillah, setakat ini duit RM1 belum lagi digunakan kerana selalu ada orang belanja makan dan beri sumbangan wang.

    “Saya bersyukur hidup di bumi Malaysia bersama rakyat yang tinggi budi pekerti. Walaupun tidak saling mengenali, saya bukan saja dibenarkan menumpang kenderaan, malah diajak bermalam dan diberi makan di rumah mereka sebelum meneruskan perjalanan keesokan hari,” katanya.

    Dia yang juga penerima bantuan RM300 sebulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM100 daripada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) berkata, projek solo itu latihan untuk Misi Jelajah Dunia dirancangnya pada Mac 2018.

    “Saya suka berkawan, berjalan, belajar perkara baru, suka buat apa yang orang jarang buat dan paling penting suka dalami budaya dan ke sesuatu tempat yang saya tidak pernah pergi,” katanya.

    Zaki berkata, pada Aidiladha lalu, dia merayakannya di Kampung Sri Kuala Bibang, Semporna, Sabah.

    “Memang sedih sebab beraya jauh daripada keluarga namun penduduk kampung menerima kehadiran saya dengan baik,” katanya. - HarianMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bekalan RM1 Ke Sabah, Sarawak "