• Bayi Sebulan Sudah Tumbuh Gigi

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+

    GUJARAT - INDIA. Doktor di barat India berjaya mencabut tujuh batang gigi dari mulut seorang bayi yang baru berusia sebulan.

    "Bayi berkenaan kini berada dalam keadaan baik," kata pakar bedah pergigian Dr Meet Ramatri yang menjalankan pembedahan pada Ogos.

    Dr Meet berkata, prosedur dilakukan melalui dua peringkat iaitu dengan mencabut empat batang gigi dan diikuti tiga yang lain.

    Gigi berkenaan ditemui tumbuh di dalam mulut bayi berkenaan beberapa hari selepas dia dilahirkan.

    Ibu bapa bayi berkenaan membawanya ke pakar kanak-kanak selepas dia sukar untuk menyusu.

    Semasa pemeriksaan, pakar kanak-kanak menemui tisu putih di dalam mulut bayi itu dan merujuknya kepada Dr Ramatri.

    "Ketika saya memeriksanya, saya mendapati dia mempunyai tujuh batang gigi," Dr Ramatri memberitahu BBC.

    "Kadang-kadang anda melihat tip (gigi) pada bayi yang baru lahir tetapi tidak tumbuh untuk seketika. Dalam kes ini, gigi sepenuhnya keluar."

    Kata Dr Ramatri lagi, walaupun dia tidak pernah mendengar mengenai kes seperti ini sebelum ini namun ia tidak semestinya keadaan yang tidak normal.

    "Ia adalah proses biologi yang biasa, cumanya dalam kes sebegini ia berlaku awal," katanya.

    Dr Ranatri berkata, gigi berkenaan terpaksa dicabut memandang ia tidak terbentuk sempurna dan jika gigi berkenaan patah, kemungkinan ia akan tersekat pada kerongkong bayi berkenaan yang boleh membawa maut.

    "Bagaimanapun sukar untuk menjangkakan sama ada pembedahan ini akan mengganggu pertumbuhan gigi bayi itu pada masa depan," katanya. - SinarHarian

    Subjects:

  • No Comment to " Bayi Sebulan Sudah Tumbuh Gigi "