• Bapa Tiri Durjana Cabul Anak 10 Tahun

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    Lelaki berusia 42 tahun ditahan polis kerana disyaki mencabul anak tiri perempuannya yang berusia 10 tahun di Kanowit, semalam.

    Lelaki itu ditahan polis selepas menyerah diri di Balai Polis Kanowit kira-kira jam 2.30 petang.

    Sumber berkata, suspek didakwa mencabul anak tirinya itu sebanyak dua kali antara Julai dan Ogos lalu.

    Menurut sumber, perbuatan keji itu dilakukan suspek di rumah panjang yang didiaminya di Kanowit ketika ketiadaan isterinya.

    "Perbuatan suspek itu terbongkar selepas guru di sekolah anaknya menyedari perubahan sikap mangsa yang menjadi murung.

    "Mangsa kemudian dipanggil gurunya sebelum mendedahkan perbuatan keji bapa tirinya menjadi punca perubahan sikapnya," katanya di Kuching, hari ini.

    Katanya, suspek didakwa mencabul mangsa secara seksual di dalam bilik tidurnya ketika isteri keluar ke kebun.

    Beliau berkata, selepas mendengar pengakuan itu, guru mangsa kemudian membawanya ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan kesihatan sebelum membuat laporan polis.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek untuk siasatan lanjut.

    "Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kanowit pagi esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 (d) dan Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bapa Tiri Durjana Cabul Anak 10 Tahun "