• Bapa Rogol Anak Di Sarikei Dipenjara 30 tahun, 18 Sebatan

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    SARIKEI: Seorang bapa durjana yang melakukan sumbang mahram terhadap anak kandung sendiri dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 18 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sarikei semalam.

    Memetik laporan Utusan Borneo pada Selasa, lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar berusia 38 tahun itu menghadapi 16 pertuduhan melakukan sumbang mahram ke atas anak kandungnya yang berusia 15 tahun sejak tahun lalu.

    Menurut Hakim Mahkamah Sesyen Maris Agan memerintahkan tertuduh dihukum 30 tahun penjara bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak dengan 18 sebatan bermula semalam dan tertuduh disabit kesalahan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.

    Pendakwaan kes tersebut dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Afwah Ismail.

    Kronologi kejadian yang bermula pada 6 September lalu, seorang pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun di sini mengadu sakit perut kepada warden asrama dan mendedahkan dirinya menjadi mangsa rogol bapa kandungnya.

    Berikutan itu, warden asrama berkenaan membawa mangsa ke Hospital Sarikei untuk menjalani pemeriksaan dan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kes berkenaan dan melakukan pemeriksaan terperinci ke atas mangsa, pihak hospital terus bertindak menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

    Melalui maklumat diperolehi, polis bertindak menahan tertuduh ketika melawat mangsa di Wad Kecemasan Hospital Sarikei, jam 4 petang pada hari sama.

    Melalui siasatan yang dijalankan, polis mendapati tertuduh telah merogol mangsa di sebuah rumah panjang di Sungai Bulat dekat sini sejak tahun lalu dan berikutan itu, tertuduh ditahan reman pada 7 September.

    Sebaik sahaja tempoh tahanan reman tamat, tertuduh terus dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan.-Sarawakiana
  • No Comment to " Bapa Rogol Anak Di Sarikei Dipenjara 30 tahun, 18 Sebatan "